Duta besar baharu ke AS pilihan pragmatik, kata penganalisis

Duta besar baharu ke AS pilihan pragmatik, kata penganalisis

Thomas Daniel dari ISIS berkata antara keutamaan Shahrul Ikram Yaakob ialah mendapat akses peringkat tinggi untuk perbincangan dua hala dan mempromosi kepentingan Malaysia di AS.

shahrul ikram
Duta Besar Malaysia ke AS yang baharu Shahrul Ikram Yaakob menghabiskan 35 tahun dalam kor diplomatik dan pernah berkhidmat sebagai duta ke Qatar serta Austria. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang penganalisis kanan di sebuah badan pemikir menyifatkan pelantikan duta besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) yang baharu pilihan pragmatik kerana negara memerlukan individu berpengalaman dan berkemampuan untuk menggalas tanggungjawab itu.

Thomas Daniel dari Institut Kajian Strategik & Antarabangsa (ISIS) menjangkakan Shahrul Ikram Yaakob mampu mengendalikan pelbagai tanggungjawab dalam peranan itu, daripada rundingan peringkat tinggi sehingga urusan harian.

Thomas Daniel
Thomas Daniel.

“Apa yang Malaysia perlukan di Washington DC sekarang ialah individu berpengalaman dan berkemampuan,” katanya kepada FMT merujuk pengalaman 35 tahun Shahrul dalam kor diplomatik.

Beliau berkata, antara keutamaan duta baharu itu ialah mendapatkan akses peringkat tinggi untuk perbincangan dua hala dan mempromosi kepentingan Malaysia di AS, khasnya memandangkan “pendekatan maksimum” Presiden Donald Trump.

Menurutnya, beliau juga perlu menguruskan gaya dasar luar Trump yang agresif dan tidak berkompromi serta “persepsi suam” Malaysia dalam kalangan pembuat dasar luar serta pertahanan AS.

Pendahulu Shahrul, Nazri Aziz bersetuju dengan pelantikan itu dan berkata Shahrul calon tepat untuk mengeratkan hubungan diplomatik.

Nazri Aziz
Nazri Aziz.

Nazri yang merupakan duta besar Malaysia ke AS dari Februari 2023 hingga Februari 2025, berkata Shahrul berpengalaman luas kerana pernah berkhidmat sebagai wakil tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di New York.

“Pelantikan ini amat sesuai, terutama ketika kita berdepan pendekatan dasar luar Trump yang tidak dapat diramalkan.”

Keutamaan Shahrul

Samirul Ariff Othman
Samirul Ariff Othman.

Samirul Ariff Othman, pensyarah adjung di Universiti Teknologi Petronas, berkata Shahrul perlu menangani pendirian berkecuali Malaysia terhadap ketegangan AS dan China yang kini dalam perang perdagangan.

Yeah Kim Leng dari Universiti Sunway pula berpendapat cabaran ekonomi segera Shahrul ialah mengesahkan semula sikap berkecuali Malaysia dan hubungan lama terjalin dengan AS.

Yeah Kim Leng
Yeah Kim Leng.

Katanya, penting bagi Malaysia untuk mengunjurkan sikap berkecuali kerana negara dan Asean mungkin dianggap condong ke arah China.

Bekas Ahli Parlimen Sungai Benut, Tawfik Ismail menggesa Shahrul mengambil langkah segera melindungi pelajar Malaysia sedang menuntut di AS ketika pentadbiran Trump mengetatkan keperluan visa pelajar asing.

Beliau menyarankan pelajar Malaysia berwaspada dengan apa yang mereka katakan dan cara mereka bertindak kerana Trump “sangat sensitif” terhadap tindakan pelajar asing di AS.

Tawfik Ismail
Tawfik Ismail.

“Duta juga berperanan menasihati pelajar apa yang patut atau tidak patut dilakukan,” katanya sambil menambah Shahrul perlu berada di barisan depan menangani isu imigresen yang memberi kesan kepada rakyat Malaysia di AS.

Shahrul, bekas ketua setiausaha Kementerian Luar Negeri dilantik duta besar Malaysia ke AS yang baharu pada 3 Jun lalu. Jawatan itu kosong lebih empat bulan.

Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam bidang Ekologi dari Universiti Malaya dan pernah mengikuti Program Pengurusan Lanjutan di Harvard Business School, AS.

Shahrul yang berasal dari Pahang juga pernah berkhidmat sebagai duta Malaysia ke Qatar dan Austria.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.