Lelaki Taiwan maut digilis LRT tiada unsur jenayah, kata polis

Lelaki Taiwan maut digilis LRT tiada unsur jenayah, kata polis

Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan berkata sumber keterangan menunjukkan mangsa jatuh atas kelakuannya sendiri.

Lelaki warga Taiwan itu digilis tren selepas jatuh atas landasan di Stesen LRT Pusat Bandar Puchong pada Selasa lalu. (Gambar Wikipedia)
SHAH ALAM:
Polis mengesahkan tiada unsur jenayah dalam kes lelaki warga Taiwan yang maut digilis tren Transit Aliran Ringan (LRT) di Stesen Pusat Bandar Puchong, Selasa lepas.

Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan berkata siasatan kes kekal diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Hasil siasatan mendapati kejadian itu tidak mempunyai sebarang unsur jenayah atau kecuaian lain.

“Kita ada sumber keterangan yang menunjukkan bahawa mangsa jatuh atas kelakuannya sendiri,” katanya kepada pemberita.

Media sebelum ini melaporkan semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati lelaki berusia 63 tahun yang masuk ke negara ini pada 31 Mei lepas berjalan berseorangan sebelum terjatuh dan digilis tren LRT berkenaan.

Polis telah berhubung dengan keluarga mangsa untuk tindakan lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.