Peguam hak asasi kecam diskaun perumahan ‘perkauman’ P Pinang

Peguam hak asasi kecam diskaun perumahan ‘perkauman’ P Pinang

N Rajesh menyifatkan penawaran diskaun 5% ke atas rumah khusus kepada India Muslim sebagai diskriminasi dihalalkan.

penang skyline komtar
Peguam N Rajesh menggesa kerajaan Pulau Pinang menarik balik diskaun 5% ke atas rumah khusus kepada India Muslim. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang peguam hak asasi mengkritik diskaun 5% ke atas ditawarkan kerajaan Pulau Pinang kepada kaum India Muslim yang disifatkan diskriminasi dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

N Rajesh berkata dasar di bawah Kempen Pemilikan Rumah Inklusif Madani (MOC) itu disifatkan tidak adil kerana berpihak kepada kaum dan agama tertentu, sekali gus menjejaskan prinsip kesaksamaan.

“Inisiatif ini sangat memecahbelahkan dan tidak dapat diterima.

“Mengapa kerajaan Pulau Pinang memberi ganjaran kepada masyarakat India yang beragama Islam tetapi tidak kepada mereka yang beragama Kristian, Buddha, Hindu, Baha’i atau Sikh? Jika ini bukan diskriminasi, saya tidak tahu apa lagi yang boleh dikatakan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau merujuk kepada Perkara 8(1) dan 8(2) Perlembagaan Persekutuan yang menjamin bahawa semua individu adalah sama di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama tanpa mengira agama, kaum atau keturunan.

Rajesh turut menyelar Exco Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar negeri, S Sundarajoo, dengan mendakwanya mengamalkan ‘diskriminasi kaum yang dihalalkan kerajaan negeri’ dan memberi amaran ia boleh menjadi satu contoh berbahaya.

“Dana awam dan inisiatif disokong kerajaan negeri mesti memberi manfaat kepada semua rakyat Malaysia secara saksama dan tidak boleh digunakan untuk layanan keistimewaan kepada kumpulan tertentu,” katanya.

Beliau menggesa kerajaan Pulau Pinang diterajui DAP menarik balik inisiatif itu serta-merta dan memberi amaran tidak melaksanakan dasar boleh memburukkan lagi perpecahan kaum dan agama.

“Negara ini bukan negara apartheid di mana sesetengah kaum lebih ‘sama rata’ daripada yang lain,” tambahnya.

Semalam, Bernama melaporkan bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang akan menawarkan diskaun kepada kaum India Muslim yang membeli unit kediaman dan komersial di bawah MOC, bermula 1 Jun hingga 31 Mei 2026.

Sundarajoo berkata inisiatif itu bertujuan meningkatkan kadar pemilikan rumah, menyokong kelulusan projek strategik baharu, serta mewujudkan sektor hartanah lebih inklusif dan berdaya saing.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.