3 dikurung di pangsapuri diselamatkan

3 dikurung di pangsapuri diselamatkan

Polis selamatkan tiga lelaki yang dikurung dalam rumah di sebuah pangsapuri di George Town.

Tiga lelaki dan seorang wanita ditahan dalam usaha polis selamatkan tiga warga asing yang dikurung di George Town. (Gambar Envato Elements)
GEORGE TOWN:
Tiga lelaki dikurung dalam rumah di sebuah pangsapuri di Jalan Dr Wu Lien Teh diselamatkan sepasukan polis, dalam serbuan semalam.

Timbalan Ketua Polis Timur Laut, Lee Swee Sake, berkata seorang lelaki warga asing berusia 47 tahun membuat laporan memaklumkan tiga rakannya dikurung beberapa individu.

“Sepasukan polis menyerbu rumah berkenaan pada 2 petang sebelum berjaya menyelamatkan tiga lelaki warga asing berusia antara 28 hingga 52 tahun.

“Pemeriksaan awal mendapati mereka berada dalam keadaan selamat dan sihat,” menurut kenyataan.

Polis turut menahan tiga lelaki tempatan berumur 40 hingga 56 tahun dan seorang wanita warga asing berusia 40 tahun yang dipercayai berperanan menjaga mangsa.

Mereka direman selama empat hari hingga 14 Jun bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 344 Kanun Keseksaan kerana melakukan kurungan salah.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengenal pasti sama ada mangsa dijanjikan pekerjaan untuk datang ke sini sebelum dikurung dan pemeriksaan mendapati tiga lelaki warga asing itu mempunyai pasport tetapi ada yang telah tamat tempoh,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.