
Menurut Ikea, terdapat ralat dalam pengeluaran yang dikenal pasti selepas siasatan dalaman dijalankan, menunjukkan terdapat risiko kepingan logam kecil tertanggal semasa alat itu digunakan kemudian mungkin ditelan bersama-sama makanan.
“Ikea menarik balik penekan bawang putih 365+ Vardefull (berwarna) hitam, dari cap tarikh 2411(YYWW) (11 Mac 2024-17 Mac 2024) hingga 2522 (YYWW) (26 Mei 2025-1 Jun 2025), dengan nombor artikel 201.521.58, 305.781.89 dan 601.636.02,” katanya dalam kenyataan.
“Produk yang terjejas boleh dikenal pasti dengan penandaan logo Ikea pada pemegang atas produk. Sekiranya pelanggan masih tidak dapat mengenal pasti, mereka boleh menghubungi Ikea untuk mengembalikan (produk tersebut) dan dapatkan bayaran balik.”
Produk yang terjejas boleh dikembalikan di Kaunter Pemulangan dan Penukaran di mana-mana gedung Ikea untuk bayaran balik penuh, tanpa perlu mengemukakan bukti pembelian (resit).
IKEA turut memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul, menyeru pelanggan untuk menyebarkan maklumat panggilan balik ini, terutamanya jika produk itu telah diberikan, dipinjamkan atau dijual kepada pihak lain.
Untuk maklumat lanjut, pengguna boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Ikea 03-7952 7575.