
Pelancaran inisiatif terbaharu itu serta Fakulti Kecerdasan Buatan dan Keselamatan Siber (FAIX) UTeM disempurnakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam majlis perasmian Hari TVET Negara 2025 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), semalam.

Naib Canselor UTeM, Massila Kamalrudin, berkata pihaknya sentiasa komited dan menzahirkan peranan besar dalam menjayakan aspirasi TVET Negara menerusi FAIX.
Katanya, peranan UTem bukan hanya tertumpu dalam menjayakan inisiatif terbaharu TVET dalam aspek akademik, penyelidikan dan inovasi dalam bidang kecerdasan buatan dan keselamatan siber semata-mata malah lebih daripada itu.
“UTeM turut menjadi tunjang Malaysia dalam menyediakan tenaga kerja profesional mahir dalam bidang ini berasaskan teknologi melalui pendekatan TVET yang komprehensif dan adaptif.
“Penubuhan FAIX turut memperkukuh kepentingan AI gunaan (applied AI) yang merentas pelbagai disiplin, termasuk kejuruteraan, perniagaan, automasi, dan sistem pintar.
“Pendekatan rentas disiplin ini adalah kunci dalam menyediakan penyelesaian teknologi yang menyeluruh, mapan dan bernilai tinggi kepada industri dan negara,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, dalam era digital ini, AI dan keselamatan siber bukan lagi bidang pilihan kerana menjadi satu keperluan, justeru FAIX turut berperanan sebagai pusat rujukan kebangsaan dan hab penyelidikan serta inovasi AI gunaan dan keselamatan siber selari keperluan industri dan aspirasi Malaysia Madani.
“Peluncuran FAIX menandakan komitmen UTeM untuk menjadi perintis dalam pembangunan modal insan TVET berteknologi tinggi dan menjadi institusi pendidikan tinggi teknikal yang relevan, responsif dan proaktif dalam menghadapi masa depan,” katanya.
Mengulas lanjut operasi fizikal FAIX, sehingga kini ia dilengkapi 13 makmal dengan kelengkapan bertaraf dunia yang membolehkan pelajar dan penyelidik meneroka teknologi canggih dalam persekitaran kondusif serta berdaya saing.
Katanya, dijangka seramai 1,040 pelajar tempatan akan menjadi kumpulan perintis pertama pada kemasukan Oktober ini menjadikan permulaan signifikan kepada pengoperasian rasmi fakulti.