Hannah cadang terapi dalam talian tangani ketagihan belia

Hannah cadang terapi dalam talian tangani ketagihan belia

Menteri belia dan sukan itu berkata peralihan itu dibuat memandangkan stigma dan pendekatan tradisional yang kurang berkesan.

online therapist
Terapi dalam talian kini menjadi kaunseling pilihan bagi mereka yang berjuang melawan ketagihan. (Gambar Envato Elements)
PETALING JAYA:
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh mencadangkan perkhidmatan terapi dan sokongan dijalankan secara dalam talian dalam usaha menangani masalah ketagihan du kalangan belia, memandangkan sesi kaunseling bersemuka dilihat semakin kurang berkesan.

Beliau berkata kempen kerajaan selama ini yang menyeru belia menjauhi dadah dan gejala sosial lain ternyata tidak banyak membantu, berdasarkan peningkatan kes ketagihan di kalangan kumpulan terbabit.

“Selama bertahun-tahun, kerajaan melakukan perkara sama, iaitu memberitahu belia ‘jangan buat ini’ atau ‘jauhkan diri daripada itu’, tetapi ia tidak berkesan,” katanya dalam temu bual bersama FMT baru-baru ini.

“Kita perlukan pendekatan baharu, sebab itu saya telah arahkan kementerian untuk mula menyediakan sokongan atau bantuan secara dalam talian,” tambahnya.

Hannah Yeoh
Hannah Yeoh.

Cadangan Yeoh ini bukanlah perkara baharu.

Pelbagai kajian di United Kingdom (UK) dan negara lain menunjukkan faktor tanpa nama (anonymity) menerusi terapi dalam talian menjadi tarikan utama belia mendapatkan bantuan menangani ketagihan.

Menurut ThoughtFull, penyedia penjagaan kesihatan mental digital, sensitiviti budaya antara sebab ramai belia Malaysia lebih cenderung kepada terapi dalam talian berbanding sesi kaunseling secara bersemuka.

Seperti diutarakan Yeoh, “Bagaimana seseorang nak mulakan perbualan secara terbuka jika mereka ketagih bahan lucah, contohnya?”

Talian hayat buat penagih

Yeoh berkata kajian Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES), sebuah agensi di bawah kementeriannya, mendapati ketagihan – daripada penyalahgunaan bahan kepada ketagihan bahan lucah dan seks – antara isu paling mendesak dihadapi belia hari ini.

“Ini ketagihan yang sukar diatasi belia,” katanya.

Beliau menjelaskan terapi dalam talian berpotensi dan sesuai kerana ia menyediakan ruang bantuan bersifat tertutup dan bebas stigma untuk belia mendapatkan sokongan.

Yeoh turut menekankan keperluan kepada ‘dasar peluang kedua’ buat belia yang terperangkap dalam kitaran ketagihan, kerana rekod kesalahan lampau – contohnya berkaitan dadah – boleh menjejaskan peluang pekerjaan mereka dan menyebabkannya bergantung sistem kebajikan negara.

“Kalau kita kata belia adalah aset negara dan tenaga kerja masa depan, bagaimana kita nak mereka menyumbang kalau satu kesilapan telah menghancurkan masa depan mereka?” katanya.

Yeoh juga berkata beliau telah melawat beberapa klien Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) untuk memahami isu ketagihan dadah daripada perspektif mereka sendiri.

“Daripada perbualan saya dengan mereka, semuanya mahu berubah dan jalani kehidupan normal – tetapi mereka perlukan bantuan, bukan dihakimi,” katanya.

Pada Oktober lalu, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Khairul Anwar Bachok mendedahkan trend membimbangkan dalam penyalahgunaan dan ketagihan dadah dalam kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah.

Beliau berkata statistik agensi menunjukkan peningkatan ketara dalam jumlah kes ketagihan dari 2022 ke 2023.

Jumlah kes di kalangan murid sekolah rendah meningkat daripada 11,611 kepada 12,755, manakala pelajar menengah rendah meningkat daripada 36,236 kepada 37,321.

Lonjakan paling tinggi direkodkan dalam kalangan pelajar menengah atas, iaitu daripada 47,951 kepada 55,855.

Kemampuan terapi dalam talian

Presiden Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA), Dr Andrew Mohanraj berkata belia lebih cenderung menerima konsep terapi dalam talian memandangkan komitmen mereka terhadap sekolah atau universiti menjadikan sesi sebegitu lebih praktikal.

“Mereka juga sudah biasa dengan pembelajaran dan interaksi dalam talian, jadi mereka selesa berkomunikasi menerusi terapi secara dalam talian,” katanya.

Namun beliau turut memberi amaran bahawa terdapat kekangan penting dalam bidang terapi secara umum.

“Kita tidak mempunyai jumlah profesional kesihatan mental yang mencukupi di Malaysia untuk menawarkan terapi secara bersemuka dan dalam talian,” katanya kepada FMT.

“Perkhidmatan secara bersemuka dikawal ketat melalui peraturan sedia ada, manakala perkhidmatan dalam talian sering kali berada dalam kawasan kelabu dari segi kawal selia. Sebaiknya kedua-dua bentuk terapi ini saling melengkapi, asalkan dikendalikan profesional bertauliah,” katanya.

Beliau juga menegaskan stigma tidak menjadi satu-satunya faktor tarikan kepada terapi dalam talian.

“Golongan muda lebih cenderung mendapatkan bantuan secara dalam talian berbanding dilihat menghadiri perkhidmatan kesihatan mental secara fizikal,” tambah Mohanraj.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.