
Kerjasama dicadangkan itu akan menyaksikan kedua-dua syarikat penerbangan bekerjasama dalam aspek penjadualan, penetapan harga, jualan, dan pemasaran, serta bidang komersial lain termasuk perluasan perkongsian kod dan perjanjian perkongsian hasil khas.
Dalam kenyataan, CCCS berkata kedua-dua syarikat itu telah mengemukakan set cadangan komitmen bagi menangani kebimbangan pihak suruhanjaya terhadap isu penyelarasan harga dan kapasiti yang boleh menyekat persaingan di laluan Singapura-Kuala Lumpur (dan sebaliknya).
Komitmen dicadangkan termasuk mengekalkan kapasiti tempat duduk mingguan pada tahap semasa, meningkatkan kapasiti apabila mencapai penanda aras prestasi tertentu, melaporkan data operasi tahunan bagi syarikat penerbangan tambang rendah (LCC) mereka di laluan tersebut, serta melantik juruaudit bebas memantau pematuhan.
“Dengan mengambil kira perkembangan pasaran semasa, termasuk penamatan operasi secara kekal oleh Jetstar Asia Airways Pte Ltd yang akan berlaku, CCCS menerima komitmen dicadangkan tersebut sebagai memadai menangani kebimbangan berkaitan persaingan yang timbul daripada kerjasama yang dicadangkan itu,” menurut kenyataan suruhanjaya berkenaan.
CCCS memaklumkan, tiada kebimbangan dibangkitkan pihak berkepentingan industri sepanjang tempoh rundingan awam berlangsung dari 11 Feb hingga 4 Mac 2025.
Ketua Pegawai Eksekutif CCCS, Alvin Koh, berkata usaha sama seperti itu berpotensi meningkatkan keterhubungan dan menawarkan lebih banyak pilihan kepada pengembara.
“Komitmen dicadangkan Singapore Airlines dan Malaysia Airlines memberi ruang fleksibiliti bertindak balas terhadap perkembangan pasaran serta memastikan lebih banyak penerbangan akan ditambah di laluan Singapura-Kuala Lumpur selari dengan peningkatan permintaan perjalanan, yang akhirnya akan membawa kepada lebih banyak pilihan penerbangan dan harga lebih kompetitif untuk penumpang dalam jangka masa panjang,” katanya.
Koh berkata, CCCS akan terus memantau perkembangan dalam sektor tersebut bagi memastikan persaingan kekal sihat dan mampu memberikan manfaat positif kepada pengguna.
SIA dan Malaysia Airlines telah mengemukakan permohonan bersama kepada CCCS pada 24 Mac 2023 untuk menentukan sama ada kerjasama dicadangkan itu merupakan satu perjanjian antipersaingan mengikut Akta Persaingan 2004.
Penyerahan maklumat susulan telah dibuat pada 3 Nov 2023, yang menyatakan kerjasama tersebut hanya terhad kepada syarikat penerbangan perkhidmatan penuh mereka dan tidak melibatkan syarikat penerbangan tambang rendah (LCC) milik masing-masing, iaitu Scoot dan Firefly.
CCCS merupakan badan berkanun di bawah Kementerian Perdagangan dan Perindustrian yang bertanggungjawab mentadbir dan menguatkuasakan Akta Persaingan 2004 serta Akta Perlindungan Pengguna (Perdagangan Adil) 2003, bagi membanteras aktiviti antipersaingan dan amalan perdagangan tidak adil.