
Dalam kenyataan, EAIC memaklumkan siasatan dijalankan susulan aduan diterima mengikut Subseksyen 27(4) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700].
“Siasatan mendapati terdapat tindakan oleh DOF dalam meluluskan pertukaran hak milik vesel nelayan yang tidak mematuhi dasar dan syarat ditetapkan oleh jabatan itu sendiri,” katanya.
Susulan itu, EAIC bertindak merujuk hasil siasatan kepada ketua setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dengan mengeluarkan beberapa syor berkaitan.
Surat teguran diberikan kepada ketua jabatan untuk memastikan pematuhan ke atas dasar dan syarat ditetapkan jabatan.
“DOF menyemak semula kelulusan diberikan kepada vesel terlibat bagi memastikan ketelusan dan pematuhan kepada pekeliling sedia ada,” katanya.
Terdahulu, EAIC menerima aduan membabitkan DOF berkaitan tindakan meluluskan permohonan melibatkan bot kenka dan permohonan pertukaran zon yang dikatakan tidak mengikut ketetapan syarat atau pekeliling pelesenan serta bercanggah dasar perikanan sedia ada.
Dalam pada itu, EAIC memaklumkan pihanya turut menerima aduan membabitkan DOF Johor berhubung kelulusan permohonan pindah milik dan/atau pindah pangkalan terhadap 10 vesel yang menggunakan pukat tunda tanpa mengikut dasar penghapusan pukat tunda yang ditetapkan kerajaan.
Katanya, siasatan dijalankan berdasarkan aduan diterima mengikut subseksyen dan akta sama.
“Siasatan mendapati wujud kelemahan iaitu ketidakaturan dalam kelulusan permohonan oleh DOF terhadap lapan daripada sepuluh 10 vesel yang disiasat melibatkan permohonan pindah milik dan, atau pindah pangkalan tersebut,” katanya.
Susulan itu, EAIC memutuskan merujuk kes itu kepada pihak berkuasa tatatertib DOF dengan syor hukuman tatatertib terhadap pegawai terbabit bawah Peraturan 38, Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 susulan kesalahan ingkar perintah sebagaimana diperuntukkan bawah Peraturan 4(2)(i) peraturan sama.