Peluang GRS menang pertembungan pelbagai penjuru lebih baik

Peluang GRS menang pertembungan pelbagai penjuru lebih baik

Penganalisis kata GRS mendapat manfaat daripada kedudukan penyandang.

Hajiji Noor GRS
GRS terdiri daripada parti tempatan dilihat lebih selari dengan sentimen berteraskan Sabah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dijangka mempunyai peluang lebih baik untuk memenangi kerusi pada PRN akan datang, di mana pertembungan pelbagai penjuru dijangka berlaku.

Menurut Bilcher Bala dari Universiti Malaysia Sabah, gabungan terdiri parti tempatan ini juga mendapat manfaat daripada kedudukan penyandang, memberikan sedikit kelebihan berbanding pesaing, terutama Barisan Nasional (BN).

Bilcher Bala
Bilcher Bala.

“GRS mempunyai kehadiran yang kuat dan dilihat lebih selari dengan sentimen berteraskan Sabah, terutama di kawasan luar bandar dan separa bandar,” katanya kepada FMT.

Pada Selasa, Pengerusi BN Zahid Hamidi mengesahkan kerjasama BN dan Pakatan Harapan (PH) untuk PRN kelak, mengatakan pakatan itu ‘dikunci’ berdasarkan perjanjian di peringkat persekutuan.

Namun, beliau akui PH mempunyai kerjasama pilihan raya yang berterusan dengan GRS, menunjukkan GRS dan BN kemungkinan bertembung.

Bilcher berkata, PH nampaknya meletakkan dirinya secara strategik untuk memainkan peranan sebagai penentu jika tiada gabungan  mendapat majoriti yang jelas, terutama jika BN dan GRS tidak memenangi majoriti mutlak.

Beliau menyatakan PH, dengan mengekalkan hubungan dengan kedua-dua BN dan GRS, memastikan ia kekal penting dalam pembentukan kerajaan, tidak kira blok mana yang menang.

Bagaimanapun, Bilcher meluahkan keraguan GRS, BN, dan PH boleh bekerjasama dalam kerajaan, menyorot perbezaan ketara antara GRS dan BN.

Beliau juga menolak kemungkinan kerjasama terjalin antara kedua-dua pihak pada saat akhir, terutama selepas Pengerusi BN Sabah, Bung Moktar Radin menolak kemungkinan sedemikian.

“Pakatan saat akhir secara teknikalnya mungkin, tetapi ia memerlukan perubahan drastik dalam nada dan kepercayaan — yang boleh menjadi bom jangka politik jika dipaksa,” katanya.

Oh Ei Sun
Oh Ei Sun.

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, pengaturan semasa ini berpunca daripada kompromi kerana terdapat tekanan untuk PH dan BN bekerjasama.

Lee Kuok Tiung
Lee Kuok Tiung.

Bagaimanapun, Lee Kuok Tiung, juga dari UMS, menolak kemungkinan kolaborasi saat akhir antara GRS-BN, mengatakan pertembungan antara kedua-dua pihak ‘tidak dapat dielakkan’.

Lee juga bersetuju, GRS paling berkemungkinan menang dalam pertembungan berbilang penjuru, apa lagi dengan bekas parti komponen Perikatan Nasional seperti Parti Progresif Sabah dan Parti Solidariti Tanah Airku kini bernaung bawah panji GRS, sekali gus mengukuhkan sokongan.

Sentimen proparti tempatan yang semakin meningkat, dan perasaan terhadap parti-parti nasional mesti diakui oleh pemimpin politik negeri.

Tempoh penggal DUN akan tamat pada 11 Nov melainkan ia dibubarkan lebih awal untuk memberi laluan kepada pilihan raya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.