Pakar ekonomi syor guna Akaun 3 KWSP untuk insurans kesihatan

Pakar ekonomi syor guna Akaun 3 KWSP untuk insurans kesihatan

Akaun 3 KWSP iaitu Akaun Fleksibel membolehkan ahli mengeluarkan simpanan pada bila-bila masa bagi memenuhi keperluan mendesak.

Afzanizam Abdul Rashid ditemu bual mengenai cadangan penggunaan Akaun 3 KWSP bagi membiayai premium bulanan insurans kesihatan.
PETALING JAYA:
Pakar ekonomi mengesyorkan penggunaan Akaun 3 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi membiayai premium bulanan insurans kesihatan, dan bukannya Akaun 2 seperti cadangan semasa selaras peranan akaun itu.

Afzanizam Abdul Rashid dari Bank Muamalat menjelaskan Akaun 2 disediakan untuk ‘keperluan kitaran hayat’ seperti perumahan, kesihatan, dan pendidikan; manakala Akaun 3 bertujuan memenuhi keperluan peribadi.

“Nama Akaun 3 iaitu Akaun Fleksible jelas melambangkan tujuan penggunaan pengeluaran,” katanya kepada FMT.

Pada 19 Jun lalu, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad mengumumkan kerajaan mempertimbang untuk memberi pilihan kepada rakyat menggunakan Akaun 2 KWSP bagi membiayai premium insurans kesihatan, yang jika dilaksanakan akan beri peluang kepada 16 juta ahli dana itu menikmati rawatan hospital swasta.

Struktur akaun ahli KWSP terbahagi kepada tiga, dengan Akaun Persaraan (Akaun 1) dikhaskan untuk simpanan persaraan dan pelaburan.

Akaun Sejahtera (Akaun 2) membolehkan pencarum mengeluarkan sebahagian simpanan untuk keperluan pra-persaraan, seperti perumahan, pendidikan, kesihatan, membeli perlindungan insurans/takaful, haji dan umur 50 tahun.

Manakala Akaun Fleksibel (Akaun 3) membolehkan ahli mengeluarkan simpanan pada bila-bila masa bagi memenuhi keperluan mendesak.

Kadar agihan caruman bagi setiap akaun adalah 75% (Akaun 1), 15% (Akaun 2), dan 10% (Akaun 3). Semua baki simpanan dalam ketiga-tiga akaun ini akan dipindahkan ke Akaun 55 setelah ahli mencapai umur 55 tahun.

“Hakikatnya, setiap pengeluaran akan memberi kesan kepada tabungan persaraan. Ini kerana yang dikeluarkan akan mengurangkan simpanan dalam KWSP dan sekaligus tidak lagi dapat menikmati faktor pengganda,” katanya.

Namun, sekiranya kerajaan melaksanakan cadangan membenarkan ahli membiaya premium insurans, Afzanizam mengesyorkan Akaun 3 selaras tujuannya.

“Tujuan Akaun Fleksibel itu pelbagai, jadi terpulang kepada pencarum bagaimana mahu menggunakan wang tersebut. Sebaiknya guna untuk perkara penting,” katanya.

Institut Penyelidikan Khazanah menjangkakan sistem penjagaan kesihatan negara semakin menghampiri krisis, dengan kemungkinan inflasi perubatan mencecah 12.6% tahun ini, mengatasi purata global dan Asia Pasifik. Pada masa sama, premium insurans naik melebihi had 10% ditetapkan Bank Negara.

Afzanizam mengingatkan bahawa simpanan kebanyakan ahli KWSP tidak begitu besar. “Purata simpanan ahli aktif pun sekitar RM110,000 tahun lepas. Kalau dana ini dikeluarkan lagi, maka untuk capai simpanan asas sebanyak RM240,000 ketika bersara akan jadi lebih sukar.”

Beliau bagaimanapun tidak menolak keperluan insurans, menyifatkan ia sebagai alat pengurusan risiko.

“Kita ambil insurans kereta sebab nak lindungi diri daripada risiko kemalangan. Begitu juga insurans kesihatan – ia lindungi kita daripada risiko kewangan apabila jatuh sakit.

“Tanpa insurans, kita mungkin perlu keluarkan belanja besar secara tiba-tiba. Jadi insurans ini membantu mengurus risiko itu dengan lebih baik,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.