
Fuziah memberitahu FMT, permohonan Tengku Zafrul menyertai parti komponen Pakatan Harapan itu diluluskan Majlis Pimpinan Pusat dalam mesyuarat 26 Julai lalu.
Semalam, Bernama memetik Tengku Zafrul sebagai mengesahkan beliau sudah menjadi ahli PKR Ampang.
Senator itu mengumumkan peletakan jawatannya dalam Umno 30 Mei lalu, sekali gus melepaskan jawatan ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno dan ketua Umno Kota Raja.
Tengku Zafrul menyertai Umno sejak 1997, tetapi dilihat sebagai teknokrat apabila dilantik menteri kewangan dalam Jemaah Menteri Muhyiddin Yassin pada Mac 2020, peranan yang dikekalkannya dalam kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob.
Keahliannya dalam Umno hanya diketahui umum menjelang PRU 2022 apabila beliau dinamakan calon Barisan Nasional bagi kerusi Parlimen Kuala Selangor, yang gagal dimenanginya.
Beliau melepaskan jawatan bendahari Umno Selangor pada April 2024 atas alasan tiada usaha “gigih” memperbaiki parti di negeri itu selepas kalah teruk pada PRN, sebelum spekulasi beliau meninggalkan Umno mula tersebar Disember lalu.
Penggal kedua dan terakhirnya sebagai senator akan tamat akhir tahun ini, di mana beliau perlu berundur sebagai menteri pelaburan, perdagangan dan industri selepas itu.