
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), M Kumar, berkata suspek berusia 51 tahun menularkan video bertajuk ‘Pendedahan Penemuan Bedah Siasat Zara’ menerusi akaun media sosial @berjuanguntukzara.
Katanya, video itu mengandungi audio perbualan penemuan hasil bedah siasat Zara yang boleh diakses di pautan https://vt.tiktok.com/zshskbtdvepp6-wfdnd/
“Semakan awal polis mendapati hantaran video berdurasi 2 minit 6 saat mengandungi kenyataan yang tidak benar berhubung siasatan kes Zara Qairina kerana menyifatkan kematian pelajar berkenaan sebagai pembunuhan terancang.
“Polis telah menangkap lelaki warga tempatan berusia 51 tahun itu pada 10.20 malam, 18 Ogos selain merampas telefon bimbit dipercayai digunakan dalam kes itu,” katanya dalam kenyataan.
Suspek direman tiga hari hingga Khamis untuk siasatan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas JSJ Bukit Aman.
Kumar berkata, siasatan dibuat bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Beliau turut memberi amaran kepada pengguna media sosial tidak menyebarkan khabar angin atau memanipulasi fakta untuk menakutkan orang awam dan mengganggu prosiding mahkamah.
Inkues bagi menentukan punca dan sama ada wujud unsur jenayah dalam kematian Zara akan bermula 3 Sept ini.
Prosiding akan berlangsung pada 3 hingga 4 Sept, 8 hingga 12 Sept, 17 hingga 19 Sept dan 22 hingga 30 Sept.
Zara ditemui tidak sedarkan diri pada 4 pagi 16 Julai selepas didakwa terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolahnya di Papar, Sabah.
Beliau meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I keesokannya.
Jenazahnya digali semula pada 9 Ogos bagi membolehkan bedah siasat dijalankan susulan dakwaan kejadian buli.