Dewan Rakyat lulus RUU Perolehan Kerajaan

Dewan Rakyat lulus RUU Perolehan Kerajaan

RUU itu melalui undi belah bahagi dengan 125 Ahli Parlimen bersetuju.

Amir Hamzah Azizan
Menteri Kewangan II Amir Hamzah ketika membuat penggulungan RUU Perolehan Kerajaan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Rang Undang-undang (RUU) Perolehan Kerajaan 2025 yang bertujuan memperkukuh tatakelola diluluskan Dewan Rakyat.

RUU itu memperoleh sokongan majoriti Ahli Parlimen selepas undi belah bahagi dilakukan.

Seramai 125 wakil rakyat bersetuju, manakala 63 tidak setuju, 32 tidak hadir, dan seorang tidak mengundi.

Keputusan itu diumumkan Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul ketika membacakan hasil undian belah bahagi tersebut.

Sebelum itu, beberapa Ahli Parlimen pembangkang meminta ia ditangguhkan dan meminta undi belah bahagi.

Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika membentangkan bacaan kali kedua RUU Perolehan Kerajaan berkata beberapa skandal yang pernah menggemparkan negara sebelum ini seperti 1MDB dan program Jana Wibawa membuktikan pentingnya ia digubal.

Anwar yang juga menteri kewangan berkata, ketelusan dan tanggungjawab dalam pengurusan kewangan negara tidak lagi boleh dianggap sebagai pilihan, sebaliknya satu tuntutan mesti dilaksanakan.

Beliau menyifatkan RUU Perolehan Kerajaan 2025 sebagai langkah berani dalam melakukan anjakan besar dalam tatakelola.

Skandal Maminco-Makuwasa dilaporkan menyebabkan negara kerugian RM1.6 bilion, manakala skandal forex Bank Negara pada awal 1990-an menyaksikan Malaysia kehilangan kira-kira RM32 bilion rizab.

Setakat ini, skandal 1MDB pula menyaksikan bekas perdana menteri, Najib Razak, dipenjara 12 tahun dan didenda RM210 juta. Namun, hukuman itu dikurangkan kepada enam tahun dan denda RM50 juta oleh Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan.

Skandal Jana Wibawa pula menyebabkan bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin, dan beberapa lain didakwa.

Draf undang-undang itu menetapkan rangka kerja penuh perolehan melalui 12 bahagian dan 93 fasal, yang terpakai kepada kementerian, badan berkanun, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta pihak berkuasa tempatan yang membelanjakan dana awam di peringkat persekutuan dan negeri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.