
Menerusi kenyataan di Facebook FAM malam ini, Setiausaha Agung Noor Azman Rahman berkata, pihaknya memandang serius perkara itu.
“FAM sedang menunggu keputusan penghakiman penuh daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) sebelum mengemukakan rayuan mengikut proses dan lunas undang-undang sedia ada,” katanya sambil menegaskan, para pemain terlibat ialah rakyat Malaysia yang sah.
Jumaat lepas, FAM dan tujuh pemain, iaitu Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal serta Hector Hevel dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib Fifa kerana didapati melanggar Artikel 22 kod tatatertib berhubung pemalsuan dokumen.
Fifa memaklumkan, FAM didapati menyerahkan dokumen yang dipalsukan bagi mengesahkan kelayakan pemain, membolehkan mereka diturunkan dalam pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lepas.
Sehubungan itu, FAM didenda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (kira-kira RM10,560) dan digantung selama 12 bulan daripada semua kegiatan berkaitan bola sepak, berkuat kuasa mulai tarikh notifikasi keputusan tersebut.
Pemangku Presiden FAM Mohd Yusoff Mahadi mengesahkan pihaknya telah menerima keputusan rasmi Fifa mengenai perkara itu.
Beliau bagaimanapun menegaskan, semua dokumentasi dan prosedur berkaitan telah dikemukakan secara telus mengikut garis panduan ditetapkan.