Lebih gah ‘kecam’ Trump di rumah sendiri, kata peserta GSF

Lebih gah ‘kecam’ Trump di rumah sendiri, kata peserta GSF

Peserta Misi Kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) Rahmat Ikhsan sokong kehadiran Donald Trump ke Malaysia pada penghujung bulan depan.

Donald Trump
Donald Trump telah menyatakan persetujuan hadir pada Sidang Kemuncak Asean ke-47 dari 26 hingga 28 Okt. (Gambar EPA Images)
PETALING JAYA:
Menjadi satu kerugian untuk tidak menggunakan kesempatan kedatangan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada penghujung bulan depan untuk membincangkan pelbagai isu termasuk berkait serangan ke atas Palestin.

Rahmat Ikhsan, salah seorang peserta Misi Kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) menyokong kehadiran Trump yang turut menunjukkan pengiktirafan kepentingan ASEAN dalam kek ekonomi dunia masa kini.

“Kita rugi jika tak menggunakan peluang ini untuk bincang balik berkaitan tarif (produk tempatan ke AS dan polisi berkaitan semi konduktor.

“Kedua, mengecam Trump berkaitan Palestin dirumah kita sendiri lebih gah dan berani,” katanya yang lebih dikenali PU Rahmat menerusi Facebooknya Rahmat Sumud Nusantara.

Rahmat berkata walaupun ada pandangan Malaysia tidak sensitif dengan Gaza dengan jemputan itu, namun beliau yakin rakyat sedar negara ini sudah cukup besar jiwa dengan menjadi penaung Rasmi Sumud Flotilla.

“Satu-satunya negara Islam berani menjadi penaung rasmi dan digelar ‘Enemy State’ oleh Issewel (Israel).

“Keempat kita boleh teruskan demonstrasi dan menekan Trump dan menunjukkan betapa tak sukanya kita terhadap AS,” katanya.

Sabtu lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menempelak pihak mempertikaikan jemputan kepada Trump untuk menghadiri Sidang Kemuncak Asean ke-47 dari 26 hingga 28 Okt.

Trump telah mengesahkan kehadirannya dalam perbualan telefon dengan Anwar pada Julai lalu.

Menurut Anwar, Malaysia akan menggunakan platform diplomasi berkenaan untuk terus menyuarakan isu Palestin.

Presiden PAS Hadi Awang dalam tulisannya di Facebook mengkritik jemputan kepada Trump ke Malaysia dengan mendakwa pemimpin itu terbukti bersekongkol dengan Israel melakukan kekejaman terhadap rakyat Palestin.

Menurut Ahli Parlimen Marang itu, Trump secara terang-terangan memberi sokongan ketenteraan kepada Israel, malah menggunakan kuasa veto AS untuk menolak keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) yang menyabitkan jenayah rejim Zionis itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.