9 aktivis Malaysia mungkin dibawa ke Turki petang ini

9 aktivis Malaysia mungkin dibawa ke Turki petang ini

Humanitarian Care Malaysia merancang menghantar wakilnya ke Istanbul bagi menyambut ketibaan aktivis itu serta membawa pakaian dan keperluan lain untuk mereka.

CEO Humanitarian Care Malaysia Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata satu penerbangan dari Israel akan mendarat di Istanbul sekitar 3 petang ini, tetapi tidak pasti jika ada wakil Malaysia. (Gambar Bernama)
SERDANG:
Sembilan aktivis Malaysia menyertai misi Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens to Gaza yang ditahan rejim Zionis Rabu lalu mungkin dibawa ke Istanbul petang ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Kamarul Zaman Shaharul Anwar, berkata maklumat diterima daripada pusat gerakan operasi FFC di Turki memaklumkan Kementerian Luar negara itu menjangkakan satu penerbangan dari Israel mendarat di Istanbul sekitar 3 petang hari ini (waktu tempatan).

“Difahamkan, pesawat berkenaan akan membawa sekumpulan aktivis FFC dari 22 negara, berkemungkinan termasuk sembilan aktivis Malaysia serta enam aktivis Global Sumud Flotilla (tiga dari Norway, dua dari Maghribi dan seorang dari Sepanyol).

“Kami juga masih menunggu maklumat terperinci dari Wisma Putra untuk mengesahkan status sembilan aktivis Malaysia dalam penerbangan tersebut, kami tidak ada kepastian jika ada wakil Malaysia,” katanya dalam sidang media perkembangan misi kemanusiaan itu di sini.

Beliau berkata, peguam dari Pusat Undang-undang bagi Hak Minoriti Arab di Israel sudah menemui semua aktivis Malaysia yang dalam keadaan sihat seperti dilaporkan sebelum ini.

Mereka ialah Prof Mohd Alauddin Mohd Ali, Dr Fauziah Mohd Hassan, Dr Hafiz Sulaiman, Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi, Dr Mohd Afandi Salleh, Dr Noorhasyimah Ismail, Norsham Abu Bakar, Dr Maziah Muhammad dan wartawan Astro Awani, Syafik Shukri Abdul Jalil.

Kamarul Zaman berkata, pihaknya merancang menghantar wakil MyCARE ke Istanbul bagi membuat persediaan menyambut ketibaan aktivis berkenaan serta membawa pakaian dan keperluan lain untuk mereka.

Semalam, beliau memaklumkan aktivis itu melaporkan barangan peribadi mereka seperti pakaian dan power bank dirampas, tetapi tiada kecederaan serius setakat ini disahkan, termasuk mungkin berlaku insiden keganasan terhadap wakil Malaysia.

Kira-kira 150 aktivis dari 25 negara dalam misi kemanusiaan FFC dan TMTG yang menaiki sembilan kapal, termasuk Conscience dan Umm Saad dipintas tentera Zionis Rabu lalu ketika berada kurang 120 batu nautika dari Gaza pada 10.50 pagi waktu Malaysia.

Lapan rakyat Malaysia menaiki kapal Conscience dan seorang lagi atas kapal Umm Saad.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.