
Beliau berkata dalam politik baharu, perdebatan berasaskan fakta dan hujah bernas jauh lebih baik daripada budaya ‘politik ampu’ yang hanya menyanjung tanpa asas.
“Debat atau bahas membabitkan sekurang-kurangnya dua pihak yang mengemukakan pendapat dan penghujahan di hadapan khalayak.
“Ia satu amalan budaya ilmu yang progresif,” katanya dalam tulisannya menerusi ruangan Merentas Ruang terbitan Sinar Harian.
Pemimpin Bersatu itu adalah pengasas bersama Majlis Debat Universiti-universiti Malaysia, ketua hakim debat Diraja (Pertama) universiti-universiti Malaysia, bekas jurulatih dan pernah dinobatkan pembahas terbaik Piala Perdana Menteri.
Menurut Saifuddin, tradisi Islam sendiri kaya dengan perdebatan ilmiah, malah al-Quran menganjurkan umatnya berdialog dan berhujah dengan cara penuh berhemah seperti terkandung dalam Surah an-Nahl ayat 125.
Beliau turut menjelaskan perdebatan bukanlah sesuatu baharu, malah telah diterangkan secara sistematik sejak zaman Aristotle melalui karya klasik Ars Rhetorica yang membahaskan seni retorik dan penghujahan.
Katanya, dalam konteks moden, perdebatan berlaku dalam pelbagai ruang — sama ada di Parlimen, mahkamah, forum akademik, atau media — dan melibatkan tiga elemen utama: isi, hujah, serta penyampaian.
“Debat terbuka memberi ruang untuk sesuatu hujahan dibidas. Ia sebahagian hak kebebasan bersuara seperti dijamin di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya.
Namun, beliau menegaskan budaya debat juga tidak boleh disekat atau diseleweng oleh mereka yang takut atau tidak mampu berhujah.
“Apabila pihak berkuasa bersifat autokratik, mereka akan ‘menyebat’ debat — menolak perbahasan, menghukum pendebat, dan membuat keputusan sesuka hati,” katanya.
Beliau turut menegur sikap sesetengah pemimpin dan institusi yang membuat keputusan sebelum proses perbahasan selesai, menggambarkan wujudnya ]penghakiman pra-matang’ tanpa menilai semua bukti.
“Dalam keadaan begini, keputusan yang dibuat biasanya rapuh dan tidak disertai penghakiman bertulis yang telus,” katanya.
Menurut Saifuddin, amalan debat yang beretika ialah sebahagian politik baharu berteraskan ilmu dan bukan kejahilan.
“Budaya debat meningkatkan politik ilmu dan ia menjadi asas kepada kematangan demokrasi,” katanya.