Ekonomi kekal kukuh tetapi dijangka sederhana pada 2026

Ekonomi kekal kukuh tetapi dijangka sederhana pada 2026

Kementerian Kewangan jangka KDNK Malaysia berkembang antara 4 hingga 4.5% tahun depan berbanding 4 hingga 4.8% tahun ini.

Pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka disokong permintaan dalam negara yang kukuh, inflasi sederhana dan pasaran kerja stabil. (Gambar Freepik)
PETALING JAYA:
Ekonomi Malaysia dijangka terus berkembang pada tahun depan, disokong oleh permintaan dalam negara yang kukuh, inflasi sederhana dan pasaran kerja yang baik, menurut Kementerian Kewangan (MoF).

Kementerian itu mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat antara 4% hingga 4.5% pada 2026, berbanding antara 4% hingga 4.8% pada tahun ini.

Dalam separuh pertama tahun ini, ekonomi negara mencatat pertumbuhan stabil sebanyak 4.4%, menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2026 yang dikeluarkan hari ini.

Unjuran itu selaras dengan laporan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada Julai lalu yang menjangka pertumbuhan Malaysia tahun ini sebanyak 4.5% dan 4% pada 2026.

Dalam kenyataan pra-belanjawan Ogos lalu, MoF berkata ekonomi negara dijangka berkembang secara sederhana pada 2026 disebabkan ketidaktentuan perdagangan global dan permintaan luar yang lemah.

Bank Negara Malaysia turut memberi amaran bulan lalu yang pertumbuhan mungkin terjejas akibat perdagangan global perlahan, sentimen lemah dan pengeluaran komoditi lebih rendah daripada jangkaan.

Sementara itu, Bank Dunia menjangka pertumbuhan ekonomi Malaysia kekal pada kadar 4.1% pada 2026, dengan momentum pertumbuhan dihadkan oleh cabaran dari dalam dan luar negara.

Ketua ahli ekonominya untuk Malaysia, Apurva Sanghi, berkata pertumbuhan eksport dijangka perlahan selepas aktiviti penghantaran awal tahun ini, manakala permintaan dalam negara juga akan sederhana.

Beliau menambah bahawa ekonomi Malaysia masih sangat bergantung kepada prestasi rakan dagang utamanya, terutamanya Amerika Syarikat dan China.

Permintaan dalam negara kekal pemacu utama 

Menurut MoF, pertumbuhan ekonomi akan terus digerakkan permintaan domestik yang kuat, inflasi sederhana serta dasar fiskal dan monetari yang proaktif.

Sektor perkhidmatan dijangka berkembang 5.2% tahun depan, diikuti pembinaan (6.1%), pembuatan (3%) dan pertanian (2.2%).

Tahun ini, sektor berkenaan masing-masing dijangka mencatat pertumbuhan 5.1%, 10.1%, 3.8% dan 1.2%.

“Ekonomi negara terus berpaksikan kepada kerangka ekonomi Madani, dengan kerajaan komited menjadikan Malaysia destinasi pelaburan berkualiti,” kata kementerian itu.

Ia menambah, usaha menambah baik mekanisme penetapan gaji dan peningkatan kecekapan perniagaan dijangka memperkukuh struktur pendapatan pekerja serta meningkatkan bahagian pendapatan buruh dalam keseluruhan ekonomi.

MoF juga berkata ekonomi akan mendapat rangsangan tambahan melalui pelbagai acara penting seperti pengerusi ASEAN tahun ini dan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026), yang dijangka merancakkan aktiviti pelancongan, perdagangan dan pelaburan.

Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi sebelum ini berkata Malaysia menyasarkan kedatangan 47 juta pelancong asing pada 2026. Pada 2024, negara merekodkan 38 juta pelancong asing — peningkatan 31.1% berbanding tahun sebelumnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.