KPM keluar garis panduan cegah penularan Influenza

KPM keluar garis panduan cegah penularan Influenza

Ketua Pengarah Pendidikan, Mohd Azam Ahmad berkata KPM dan Bahagian Kawalan Penyakit KKM memantau secara dekat penularan ILI di sekolah.

sekolah student
Ketua Pengarah Pendidikan, Mohd Azam Ahmad berkata semua warga institusi pendidikan disaran memakai pelitup muka dan aspek kebersihan, kesihatan dan keselamatan diberi perhatian.
PETALING JAYA:
Kementerian Pendidikan (KPM) mengeluarkan garis panduan pencegahan kepada semua sekolah dan institusi pendidikan untuk menguruskan penularan jangkitan penyakit seperti Influenza (ILI) dengan teratur dan berkesan.

Ketua Pengarah Pendidikan, Mohd Azam Ahmad berkata surat pemakluman berhubung garis panduan pencegahan penularan jangkitan ILI itu dikeluarkan pada 6 Okt lalu menerusi Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah.

Katanya, menerusi garis panduan itu, pelajar yang tinggal di asrama dan bergejala perlu diasingkan dan ibu bapa segera dihubungi untuk membawa pulang atau mendapatkan kebenaran membawa pelajar ke pusat perubatan berdekatan.

“Warga institusi pendidikan juga disaran memakai pelitup muka apabila berjumpa orang lain atau ketika berada di tempat awam dan mewujudkan kesedaran mengenai kepentingan menjaga kebersihan dan kesihatan.

“Seluruh warga pendidikan turut diingatkan untuk memastikan aspek kebersihan, kesihatan dan keselamatan diberi perhatian,” katanya dalam satu kenyataan.

Azam berkata, KPM dan Kementerian Kesihatan menerusi Bahagian Kawalan Penyakit sedang memantau secara dekat penularan ILI bagi memastikan kesihatan serta kesejahteraan murid, guru dan seluruh warga institusi pendidikan.

Tambahnya, KPM juga mengambil pendekatan berterusan bagi memastikan langkah kawalan dan pencegahan penyakit dilaksanakan secara efektif.

Semalam, dua kumpulan ibu bapa menggesa KPM mengambil langkah berjaga-jaga termasuk mewajibkan pemakaian pelitup muka di sekolah bagi mengekang penularan wabak influenza dalam kalangan pelajar.

Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE), Noor Azimah Rahim, menggesa KPM mengamalkan semula prosedur operasi standard (SOP) dalam mencegah jangkitan virus di sekolah.

Pengerusi Kumpulan Tindakan Ibu Bapa Dalam Pendidikan Melaka (Magpie), Mak Chee Kin pula mencadangkan KPM membekalkan pelitup muka secara percuma kepada pelajar di sekolah.

Pada Rabu lalu, dilaporkan seramai 22 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Merbok disahkan positif influenza, manakala 114 pelajar di MRSM Kuantan dikesan dijangkiti virus sama.

Kementerian Kesihatan mengesahkan 15 kluster baharu jangkitan influenza dan saluran pernafasan dilaporkan pada Minggu Epidemiologi 39 berbanding tiga kluster minggu sebelumnya dengan majoriti melibatkan institusi pendidikan termasuk sekolah dan tadika, tanpa kematian dilaporkan.

Katanya, jumlah keseluruhan setakat ini adalah 214 kluster, berkurang 33% berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.