SKMM bangun awan AI berdaulat, perkasa kedaulatan digital negara

SKMM bangun awan AI berdaulat, perkasa kedaulatan digital negara

Perdana Menteri Anwar Ibrahim umum pembangunan awan nasional kecerdasan buatan babit pelaburan RM2 bilion.

mcmc-skmm-mcmc
Selain awan AI Berdaulat, SKMM juga menubuhkan Pusat Kecemerlangan AI dengan kerjasama Universiti Multimedia (MMU) bagi mengembangkan potensi sektor itu. (Gambar SKMM)
PETALING JAYA:
Sebuah awan AI Berdaulat akan dibangunkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sebagai langkah penting memperkukuh kedaulatan data dan keupayaan digital negara.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata inisiatif membabitkan pelaburan RM2 bilion itu menandakan satu lagi lonjakan besar dalam perjalanan Malaysia menuju status Negara AI menjelang 2030, di bawah kerangka Malaysia Madani.

Katanya, pelaburan itu akan menjadi asas kepada pembangunan ekosistem kecerdasan buatan (AI) yang berdaulat dan selamat, membolehkan sektor awam dan swasta memanfaatkan teknologi canggih tanpa bergantung sepenuhnya kepada infrastruktur asing.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim (Gambar YTL)
Ogos lalu, Anwar Ibrahim melancarkan model kecerdasan buatan (AI) multimod pertama negara, ILMU dibangunkan YTL AI Labs dengan kerjasama Universiti Malaya. (Gambar YTL)

“Malaysia tidak boleh hanya menjadi pengguna, tetapi mesti menjadi pencipta dalam bidang AI,” katanya membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini.

Selain awan AI Berdaulat, SKMM juga akan menubuhkan Pusat Kecemerlangan AI dengan kerjasama Universiti Multimedia (MMU) dan Pusat Kecemerlangan Etika bagi Teknologi Baharu Muncu bagi memperkukuh penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang beretika serta peka budaya tempatan.

Anwar berkata kerajaan memperuntukkan hampir RM5.9 bilion bagi aktiviti penyelidikan, pembangunan, komersial dan daya cipta (RDCI) merentas kementerian bagi mengukuhkan daya saing negara dalam era digital.

Beliau berkata, Agensi Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) akan menerima hampir RM20 juta untuk melahirkan tenaga mahir, memperkukuh infrastruktur digital dan membina ekosistem AI yang cekap.

Bagi mempercepat penggunaan AI di sektor perniagaan, kerajaan mencadangkan potongan cukai tambahan 50% kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bagi latihan berkaitan AI dan keselamatan siber yang diiktiraf oleh MyMahir National AI Council for Industry (NAICI).

Dalam pada itu, inisiatif Geran Pecutan Digital Malaysia bernilai RM53 juta turut disediakan untuk mempercepat penerimagunaan teknologi seperti blockchain, AI dan perkomputeran kuantum.

Anwar turut mengumumkan beberapa pencapaian penting termasuk pelancaran Intelek Luhur Malaysia Untukmu (ILMU), model bahasa AI pertama negara hasil kerjasama Universiti Malaya (UM) dan YTL AI Labs.

Model ILMU, katanya, menjadi simbol keupayaan tempatan dalam membangunkan teknologi bahasa yang memahami konteks dan budaya Malaysia, setanding dengan pembangunan model AI global.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.