
Pemangku Presiden FAM Mohd Yusoff Mahadi berkata, pihaknya bertindak pantas setelah menerima penghakiman penuh Fifa pada 7 Okt lepas dengan pasukan perundangan FAM menyiapkan segala dokumen untuk diserahkan sebelum tarikh akhir.
Katanya, persediaan memfailkan rayuan dilakukan dengan teliti bagi mengelakkan sebarang masalah timbul pada peringkat seterusnya.
“Sudah tentu apabila kita mengemukakan rayuan harapan kita supaya rayuan diterima, memperoleh keputusan positif dan berpihak kepada kita,” katanya ketika ditemui pada aksi Kumpulan F pusingan Kelayakan Piala Asia 2027 antara Malaysia dan Laos di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam.
“Proses rayuan ini seperti pusingan kedua untuk kami dan tentu sekali persiapan lebih baik, kemas dan teliti, ia tidak dibuat sambil lewa atau pun secara terdesak.”
Bulan lepas, FAM dan tujuh pemain warisan negara, iaitu Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel, dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib Fifa selepas didapati melanggar Perkara 22 Kod Tatatertib Fifa berkaitan pemalsuan dokumen.
Dalam kenyataan, Fifa memaklumkan bahawa FAM telah menyerahkan dokumen palsu bagi mengesahkan kelayakan pemain terbabit, yang membolehkan mereka beraksi dalam perlawanan pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun.
Sehubungan itu, FAM dikenakan denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (kira-kira RM10,560) serta digantung 12 bulan daripada semua kegiatan berkaitan bola sepak, berkuat kuasa mulai tarikh notifikasi keputusan tersebut.
FAM dalam kenyataan sebelum ini bagaimanapun memaklumkan, pihaknya mengenal pasti wujud kesilapan teknikal dalam proses penyerahan dokumen tujuh pemain terbabit yang dilakukan oleh petugas pentadbiran.
Persatuan itu sebelum ini turut dilaporkan tidak menolak kemungkinan membawa perkara itu ke Mahkamah Timbang Tara Sukan sekiranya rayuan pada peringkat Fifa tidak membuahkan hasil.
Dalam perkembangan berasingan, Yusoff berkata, FAM menyerahkan kepada Jawatankuasa Tatatertib untuk mengambil langkah seterusnya mengenai kenyataan ketua jurulatih skuad kebangsaan Peter Cklamovski yang dikatakan mengkritik badan induk itu baru-baru ini.
Katanya, beliau secara peribadi menerima permohonan maaf yang telah dibuat pengendali dari Australia itu, namun menjelaskan FAM tertakluk kepada statut yang seharusnya dihormati.