CEO Sapura cabar permohonan bapa batal hibah 14.85 juta saham

CEO Sapura cabar permohonan bapa batal hibah 14.85 juta saham

Pengasas Sapura Shamsuddin Abdul Kadir berkata, beliau beri hibah 14.85 juta saham kepada dua anak lelakinya, Shahril dan Shahriman pada 1997.

Shahriman Shamsuddin and his father Shamsuddin Abdul Kadir
Shahriman Shamsuddin dan bapanya Shamsuddin Abdul Kadir ketika hadir ke prosiding pagi ini di Mahkamah Tinggi Syariah Putrajaya.
PUTRAJAYA:
CEO kumpulan Sapura Holdings Sdn Bhd, Shahril Shamsuddin mencabar permohonan bapanya, Shamsuddin Abdul Kadir di Mahkamah Tinggi Syariah untuk membatalkan hibah 14.8 juta unit saham yang diberikan kepadanya pada 1997.

Ketika pengurusan kes, peguam Rafie Shafie yang mewakili Shahril memaklumkan mahkamah bahawa anak guamnya mengarahkan untuk mencabar permohonan tersebut.

Rafie turut berkata bahawa writ saman dan pernyataan tuntutan oleh Shamsuddin hanya diserahkan kepada anak guamnya pada 13 Okt.

Pendaftar Niana Nazahar menetapkan 18 Nov untuk pengurusan kes selanjutnya.

Shahril, 64, tidak hadir ke mahkamah pagi tadi.

Shahril Shamsuddin
Shahril Shamsuddin.

Peguam Shamsuddin, Suhaimi Saad, berkata pengasas Sapura berusia 94 tahun itu memfailkan dua permohonan di mahkamah, satu untuk mengesahkan hibah yang diberikan kepada dua anak lelakinya, Shahril dan Shahriman, dan satu lagi untuk membatalkan hibah yang diberikan kepada Shahril.

Suhaimi berkata, Shamsuddin memberikan setiap seorang anak lelakinya 14,850,000 unit saham dalam Sapura Holdings pada 7 Nov 1997 sebagai sebahagian daripada hibah tersebut.

Tiada sebab diberikan mengapa beliau membatalkan hibah hanya kepada Shahril.

Shahriman, 56, hadir di mahkamah dan dinamakan sebagai defendan kedua hanya bagi mengesahkan pemberian hibah tersebut.

Peguam Fakhrul Azman Abu Hassan yang mewakili Shahriman berkata anak guamnya tidak mempunyai sebarang bantahan terhadap permohonan bapanya untuk mengesahkan hibah yang diberikan kepadanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.