
Bekas timbalan presiden PHRS berkata, beliau akan terus bertanding di DUN Kukusan pada PRN 29 Nov, namun tidak menyatakan sama ada sebagai calon bebas atau mewakili parti lain.
Rina berkata, keputusan meninggalkan PHRS dibuat atas prinsip dan maruah diri, selepas merasakan menjadi mangsa sabotaj politik oleh pihak dalam PHRS.
“Saya tidak lagi mempunyai kaitan dengan PHRS. Jelas ada pihak yang secara licik mahu menjatuhkan saya terutama menjelang penamaan calon.
“Saya akan terus berjuang di Kukusan kerana masih banyak lagi yang perlu dilakukan untuk rakyat di sini. Ini bukan soal parti semata-mata, tetapi soal tanggungjawab dan amanah.
“Ramai pengundi di Kukusan yang bertanya, memohon agar saya terus bertanding dan memperjuangkan suara mereka. Selagi mereka mahu saya di sini, saya tidak akan berpaling,” katanya di Facebook.
Sebelum ini, Rina bersama Warisan namun meninggalkan parti itu pada 2022 untuk menyertai PHRS, yang kemudian menjadi komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Dalam pilihan raya 2020, beliau menewaskan Chaya Sulaiman daripada Barisan Nasional dengan hanya 10 undi untuk memenangi kerusi Kukusan atas tiket Warisan.
Sehingga kini, enam parti mengumumkan calon bagi kerusi itu dengan BN sekali lagi menampilkan Chaya, manakala gabungan pemerintah GRS menamakan Ketua PHRS Kukusan, Samsiah Usman.
Parti lain yang akan bertanding adalah Perikatan Nasional, Warisan, Parti Impian Sabah dan Parti Kerjasama Anak Negeri.