
Maimunah berkata, dalam tempoh perkhidmatannya, beliau melaksanakan pembaharuan besar dalam aspek perancangan bandar, integriti kewangan, kemampanan, perumahan dan pendigitalan perkhidmatan bandar raya.
“Sejak hari pertama saya dilantik pada 14 Ogos 2024, saya membawa satu komitmen yang jelas iaitu ingin mengembalikan roh kemanusiaan dalam pentadbiran bandar bahawa setiap dasar, setiap projek dan setiap keputusan mesti memberi makna kepada hidup rakyat.
“Hari ini, saya berdiri di sini dengan rasa syukur kerana banyak perubahan besar telah kita lalui dan banyak kejayaan penting telah dicapai sepanjang tempoh kepimpinan saya,” kongsinya dalam sidang media Majlis Lambaian Kasih Datuk Bandar ke-15 di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Maimunah akan digantikan bekas presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Fadlun Mak Ujud berkuat kuasa esok.
Semalam, Petronas memaklumkan Maimunah dilantik sebagai penasihat hartanah baharu berkuat kuasa 17 Nov ini, selepas Ketua Setiausaha Negara, Shamsul Azri Abu Bakar mengumumkan tempoh perkhidmatan beliau sebagai datuk bandar Kuala Lumpur dipendekkan.
Sementara itu, Maimunah yang mengakui berpuas hati dengan prestasinya sepanjang berkhidmat berkata, pencapaian terpentingnya membabitkan pewartaan Pelan Tempatan Kuala Lumpur (PTKL) 2040 pada Mei lalu.
“Sepanjang tempoh ini, saya sendiri mengetuai semakan ke atas lebih 60 projek pembangunan agar selaras dengan prinsip kemampanan, mobiliti, perlindungan warisan dan peningkatan kualiti hidup,” katanya.
Dari sudut tadbir urus dan kewangan, beliau turut mengambil keputusan berani merombak cara pengurusan perolehan dan perbelanjaan yang menyaksikan DBKL mencapai lebihan operasi, selain Kuala Lumpur juga semakin menonjol di mata dunia melalui penganjuran beberapa forum Asean dan penyertaannya sebagai ‘Unesco Creative City of Design.’
Maimunah turut mendedahkan beliau hampir tidak pernah mengambil cuti sepanjang lebih 500 hari memegang jawatan itu, malah jadual kerjanya sering berlarutan hingga awal pagi.
“Cuti saya ada lagi 60 hari. Saya tak ambil cuti. Saya kerja pagi, balik malam. Kalau lihat saya punya kad perakam kehadiran, tak ada satu hari pun saya pulang 5 petang, biasanya 8 atau 10 malam.
“Sampai masuk kerja hari Khamis dan pulang Jumaat 2 pagi (pun ada),” kongsinya sambil ketawa.
Beliau menegaskan, komitmen tersebut lahir daripada pendekatan berpaksikan rakyat, yang menjadi pegangan utamanya, termasuk kekerapan turun padang bersama komuniti untuk memahami keperluan rakyat, khususnya golongan B40.