
Mengakui pertukaran mengejut datuk bandar boleh mencetuskan ketidakstabilan, Lai berkata, itu tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk mendesak agar pilihan raya tempatan diadakan.
Menurutnya, Kuala Lumpur berdepan cabaran-cabaran bersifat pentadbiran, seperti risiko rasuah, jurang kecekapan dan kualiti perkhidmatan, bukannya politik.
“(Isu-isu) ini tidak diselesaikan melalui undi popular, tetapi melalui mekanisme kebertanggungjawaban dan ketelusan yang boleh dikuatkuasakan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau mengulas penamatan mengejut perkhidmatan datuk bandar Maimunah Sharif semalam, yang sepatutnya berakhir pada 16 Ogos tahun depan. Fadlun Mak Ujud dilantik sebagai pengganti beliau, berkuat kuasa serta-merta.
Maimunah akan memegang peranan baharu sebagai penasihat hartanah Petronas mulai 17 Nov, menyelia projek pembangunan termasuk di Sungai Besi dan Kota Madani.
Perubahan kepimpinan itu mengundang pelbagai reaksi, termasuk Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad yang menggesa kerajaan persekutuan menjelaskan penamatan awal perkhidmatan Maimunah, sambil mengulangi desakan agar pilihan raya tempatan diadakan.
Bagaimanapun, Lai berkata, keutamaan sekarang adalah memastikan kestabilan pentadbiran, perkhidmatan awam yang kompeten, serta kemajuan berterusan dalam inisiatif pembangunan seperti Bandar CHASE, yang bermatlamat menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar raya bersih, selamat, sihat, maju dan mesra alam.
“Kita harus mengelak daripada mengejar janji yang jauh dan rumit untuk pilihan raya tempatan bagi Wilayah Persekutuan, sebaliknya membina tadbir urus yang kukuh berasaskan profesionalisme.
“Tidak harus kita pertikaikan isu pilihan raya tempatan atau pelantikan datuk bandar. Biarlah Fadlun mulakan tugas dengan sokongan semua,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa penganjuran pilihan raya tempatan berisiko mempolitikkan dewan bandar raya, sekali gus mengalihkan fokus daripada aspek teknikal pengurusan bandar.
“Dalam usaha menuntut pilihan raya majlis tempatan, kita seharusnya fokus kepada peningkatan keberkesanan dan memperkasakan ahli lembaga penasihat sebagai langkah peralihan yang segera, bukannya tergesa-gesa melompat kepada pilihan raya tempatan,” katanya.