Vignes tak puas hati, MIC pertimbang berhubung dengan PAS sudah jadi isu

Vignes tak puas hati, MIC pertimbang berhubung dengan PAS sudah jadi isu

Presiden MIC merujuk kerjasama Pakatan Rakyat dengan PAS dipuji sebagai 'reformasi', manakala Muafakat Nasional disebut 'penyatuan ummah'.

S.A Vigneswaran
Presiden MIC SA Vigneswaran, berkata parti itu perlu berdepan dwistandard pihak lain ketika meneroka pakatan di luar BN.
SHAH ALAM:
Presiden MIC SA Vigneswaran menyelar sikap hipokrasi atas kritikan dilemparkan terhadap parti itu apabila mula meneroka pakatan di luar Barisan Nasional (BN), terutamanya dengan PAS.

Beliau menegaskan PKR dan DAP pernah bekerjasama dengan PAS di bawah Pakatan Rakyat (PR) yang kini bubar, manakala Umno membentuk Muafakat Nasional (MN) dengan PAS, yang kemudiannya turut gagal.

“Apabila PR ingin bekerjasama dengan PAS, ia dipuji sebagai ‘reformasi’. Apabila Umno bekerjasama dengan PAS, ia disebut sebagai ‘penyatuan ummah’.

“Tetapi, apabila MIC hanya mempertimbangkan untuk berhubung dengan PAS, tiba-tiba ia menjadi isu. Tiba-tiba ia tidak dapat diterima. Tiba-tiba MIC diminta untuk berdiam dan terkurung dalam batas politik ditetapkan orang lain.

“Ini adalah dwistandard yang mesti kita hadapi,” katanya pada ucapan dasar di hadapan perwakilan di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam.

Piagam MN ditandatangani Umno dan PAS pada 2019, ketika Pakatan Harapan (PH) menerajui kerajaan persekutuan, apabila kedua-dua parti Melayu-Islam terbesar itu memeterai kerjasama bersejarah.

Pakatan itu runtuh selepas PAS membentuk Perikatan Nasional (PN) bersama Bersatu sambil bertegas agar Bersatu dimasukkan dalam MN, yang dibantah Umno.

Pada 5 Sept lalu, Setiausaha Agung PN Azmin Ali, mengesahkan terdapat rundingan dengan MIC dan MCA mengenai kemungkinan kerjasama pilihan raya untuk PRU16.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Puad Zarkashi, telah menyifatkan perbincangan berkenaan kerana masing-masing bergelut demi kelangsungan politik ketika PRU semakin hampir.

Vigneswaran berkata, banyak keputusan penting BN dibuat secara bersendiri oleh Umno tanpa berunding dengan parti komponen lain.

Beliau berkata, keputusan membubarkan Parlimen pada 2022 bagi membuka laluan kepada PRU15 antara contoh disebutnya, tanpa sebarang konsensus dicapai dalam kalangan komponen BN.

“Kita sepatutnya ada satu tahun lagi untuk membina semula, satu tahun lagi untuk bersiap sedia, satu tahun lagi untuk mengingatkan rakyat bahawa MIC masih berdiri bersama mereka.

“Tetapi, kita menerima keputusan itu kerana kita sebahagian gabungan. Dan jangan kita sekali-kali lupa, pada masa itu, reputasi BN berada pada tahap paling rendah dalam sejarah gabungan ini.”

Walaupun MIC kekal teguh bersama BN, beliau berkata parti itu tidak diberikan penghormatan diharapkan, terutamanya dalam keputusan BN bekerjasama dengan PH dan gabungan lain bagi membentuk kerajaan perpaduan.

Beliau menyalahkan Pengerusi BN Zahid Hamidi kerana gagal mempertahankan kepentingan MIC dan berkata ia membawa kepada pengabaian berterusan terhadap parti itu dalam kerajaan hari ini.

“Harus ditekankan disini bahawasanya keputusan untuk mengadakan kerjasama dengan PH dibuat semata-mata demi kelangsungan Umno, bukan demi masa depan kolektif gabungan atau rakan-rakannya.

“Tiada kepimpinan yang bijak akan mengambil keputusan yang tidak popular dalam gabungan dan mendedahkan rakan-rakan kepada risiko, melainkan ia didorong oleh keterdesakan sendiri.

“Namun begitu, kesannya cukup jelas hakikat bahawa MIC, tiada menteri, tiada wakil dalam GLC, tiada pelantikan signifikan, adalah atas tindakan pengerusi BN yang gagal mempertahankan kepentingan MIC,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.