
Dalam pengumumannya, negara itu menetapkan beberapa syarat kesihatan baharu termasuk larangan kepada individu menghidap penyakit kronik tidak terkawal dan penyakit berjangkit daripada menunaikan ibadah haji.
Pemain industri Mohd Khairi Mat Jahaya berkata peraturan baharu oleh Arab Saudi itu memerlukan setiap pengelola meningkatkan tahap perkhidmatan dan membuat persediaan lebih awal.
Menurutnya, seperti contoh pihaknya MKM Travel telah memeterai kerjasama perubatan swasta di Arab Saudi bagi memastikan jemaah menerima pemeriksaan serta rawatan lebih sistematik.
“Setiap tahun kami menilai semula pendekatan dan strategi supaya seiring dengan keperluan semasa jemaah.
“Kami mahu mereka menunaikan ibadah dengan hati yang tenang, tanpa dibebani oleh kerisauan mengenai urusan kesihatan, penginapan atau logistik,” katanya dalam kenyataan.
Tahun ini, Lembaga Tabung Haji melantik 34 pengelola terdiri dari syarikat swasta termasuk MKM Travel.
Menurut Khairi, turut diberi perhatian aspek penginapan dengan memeterai perjanjian hotel di Mekah dan Madinah yang terletak pada jarak strategik, tidak melebihi 500 meter dari Masjid al-Haram bagi memudahkan pergerakan jemaah.
“Sistem kecerdasan buatan (AI) turut digunakan untuk mempercepatkan jawapan kepada jemaah haji,” katanya.
Beliau turut menasihatkan bakal jemaah supaya berhati-hati memilih agensi pelancongan dan memastikan ia diiktiraf Tabung Haji.
“Kami sering menerima laporan individu atau syarikat tidak berlesen menawarkan pakej dengan harga tidak munasabah,” katanya.