Zambry tegur presiden MIC kerana kritik Zahid di AGM parti

Zambry tegur presiden MIC kerana kritik Zahid di AGM parti

Setiausaha agung BN berkata parti komponen tidak pernah mengkritik pengerusi secara terbuka dan ada tatacara untuk suarakan pandangan.

Setiausaha Agung Zambry Abdul Kadir berkata tindakan Presiden MIC SA Vigneswaran mengkritik Pengerusi BN Zahid Hamidi secara terbuka adalah tidak wajar.
PETALING JAYA:
Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Zambry Abdul Kadir menegur Presiden MIC SA Vigneswaran kerana secara terbuka mengkritik Pengerusi BN Zahid Hamidi kerana didakwa mengabaikan kepentingan parti itu.

Zambry menyifatkan kenyataan Vigneswaran pada mesyuarat agung tahunan MIC baru-baru ini sebagai ‘sesuatu yang tidak wajar’.

“Tidak ada mana-mana parti komponen BN sebelum ini melakukan demikian lantaran kita mempunyai adab, tatacara dan platform majlis tertinggi untuk menyuarakan sebarang pandangan,” katanya kepada FMT.

Pada AGM Ahad lalu, Vigneswaran menyalahkan Zahid kerana gagal mempertahankan kepentingan MIC dan berkata perkara itu menjadi punca parti tersebut terus dipinggirkan dalam kerajaan ketika ini.

Beliau juga mengkritik keputusan untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan, dengan mendakwa ia dibuat bagi melindungi kelangsungan Umno dan bukan masa depan BN secara kolektif.

“Kesan terhadap MIC cukup jelas. Kita tiada menteri, tiada wakil dalam syarikat berkaitan kerajaan dan tiada lantikan penting akibat seorang pengerusi BN yang gagal mempertahankan kepentingan MIC,” kata Vigneswaran.

Pada hari sama, perwakilan MIC sebulat suara bersetuju menangguhkan sebarang keputusan untuk keluar daripada BN dan menyerahkan kepada jawatankuasa kerja pusat serta presiden parti.

Mengenai kemungkinan MIC keluar gabungan itu, Zambry berkata beliau tidak mahu mencampuri urusan dalaman parti tersebut tetapi menggesa pemimpinnya mengambil iktibar daripada liku-liku perjuangan dilalui bersama sepanjang 50 tahun dalam BN.

Diasaskan pada 1946, MIC antara parti politik tertua di Malaysia. Sebagai anggota pengasas Parti Perikatan bersama Umno dan MCA, parti itu secara tradisinya mewakili komuniti India, manakala dua parti lain mewakili kaum Melayu dan Cina.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.