Ahli Parlimen gesa segera nyah rahsia dokumen Skim Parkir Pintar Selangor

Ahli Parlimen gesa segera nyah rahsia dokumen Skim Parkir Pintar Selangor

Lee Chean Chung kata isu parkir itu melibatkan kepentingan awam maka rakyat berhak tahu kandungan dokumen.

Lee Chean Chung
Ahli Parlimen Lee Chean Chung kata nyah rahsia dokumen berkait SIP junjung semangat kebebasan maklumat.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung menggesa dokumen berkaitan Skim Parkir Pintar Selangor (SIP) dinyahrahsiakan dengan segera agar dapat meningkatkan ketelusan berhubung urus niaga itu.

Beliau berkata isu parkir itu melibatkan kepentingan awam maka rakyat berhak mengetahui kandungan dokumen itu.

“Saya memang mengalu-alukan kalau dokumen berkaitan SIP dinyahklasifikasi. Itu berkenaan kepentingan rakyat dan mereka ada hak untuk tahu. Lebih lagi ini isu berkenaan parkir dan isu keselamatan negara,” katanya kepada FMT ketika ditemui dalam Program Petaling Jaya International Criterium Race 2025 di Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Pada 24 Okt lalu, Lee dari PKR menggesa kerajaan negeri menjelaskan mengapa dokumen projek itu diklasifikasikan bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) pula menggesa tender projek itu dibuka semula bagi memastikan proses penganugerahan konsesi yang telus dan bertanggungjawab.

Semalam, Menteri Besar Amirudin Shari berkata sebahagian besar dokumen berkaitan SIP akan dinyahrahsiakan susulan desakan untuk meningkatkan ketelusan.

Amirudin mengakui beberapa dokumen diklasifikasikan bawah OSA, namun berkata ia merupakan prosedur standard dan tidak akan menghalang pendedahan.

“Lihat apa ada dulu dokumen itu. Tak boleh ‘judge’ (buat anggapan) dulu. Namun dokumen itu dinyahklasifikasi junjung semangat ‘freedom of information’ (kebebasan maklumat),” katanya.

Projek itu mendapat perhatian selepas laporan bahawa satu konsesi tambahan, Selmax Sdn Bhd, dibawa masuk tidak lama selepas Rantaian Mesra Sdn Bhd diumumkan sebagai operator asal pada 9 Julai.

Pemakluman Bursa Malaysia pada 15 Julai menunjukkan Selmax memperoleh konsesi jangka panjang daripada beberapa pihak berkuasa tempatan, menimbulkan persoalan mengenai potensi konflik kepentingan dan ketelusan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.