
Syarikat penerbangan tambang rendah itu berkata, pasukan kejuruteraannya bekerja “siang dan malam” untuk menyiapkan kemas kini terbabit dan akan menyelaras operasi penerbangannya mengikut keperluan.
AirAsia mempunyai hampir 200 pesawat A320, dengan sebahagiannya terjejas oleh arahan itu.
“Kami sedang mengambil langkah segera untuk mematuhi arahan layak terbang dan menyasarkan proses ini selesai dalam tempoh 48 jam, sambil memastikan gangguan kepada pelanggan adalah minimum.
“Kami memohon pemahaman pelanggan kerana langkah wajib itu penting bagi mengekalkan piawaian keselamatan operasi tertinggi,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation, Bo Lingam dalam kenyataan.
Semalam, Airbus mengumumkan arahan pembaikan segera ke atas 6,000 pesawat A320 digunakan secara meluas, dalam panggilan balik besar-besaran menjejaskan lebih separuh pesawat global, yang dijangka mengganggu penerbangan hujung minggu paling sibuk tahun ini di Amerika Syarikat dan mencetuskan gangguan di seluruh dunia.
Tindakan itu dilihat antara panggilan balik terbesar yang pernah menjejaskan Airbus dalam tempoh 55 tahun sejarahnya dan berlaku hanya beberapa minggu selepas A320 mengatasi Boeing 737 sebagai model paling banyak dihantar, lapor Reuters.
Pembaikan itu membabitkan penukaran kepada perisian versi terdahulu dan dianggap agak mudah, tetapi perlu dilaksanakan sebelum pesawat dibenarkan terbang semula, menurut buletin Airbus kepada syarikat penerbangan.
Airbus berkata, insiden terbaharu membabitkan pesawat A320 mendedahkan radiasi kuat matahari boleh merosakkan data penting kawalan penerbangan.
Insiden yang mencetuskan tindakan pembaikan mengejut itu dipercayai membabitkan penerbangan JetBlue dari Cancun, Mexico ke Newark, New Jersey pada 30 Okt lalu, di mana beberapa penumpang cedera selepas pesawat hilang altitud secara mendadak.