
SPAN memaklumkan, secara amnya, berdasarkan Pelan Transformasi Air 2040, penglibatan pihak swasta dalam kerangka pembiayaan alternatif digalakkan oleh kerajaan bagi memastikan kelangsungan dan daya maju industri perkhidmatan air.
“Bagaimanapun, SPAN sehingga kini masih belum menerima permohonan daripada pihak usaha sama untuk melaksanakan NPWSS,” katanya dalam kenyataan.
“SPAN menyarankan agar mana-mana pihak yang bakal atau merancang melaksanakan sebarang projek berkaitan perkhidmatan air terlebih dahulu mendapatkan kelulusan daripada pihak bertanggungjawab seperti SPAN atau mana-mana pihak berkuasa berkaitan sebelum mengeluarkan kenyataan kepada media bagi mengelak sebarang kekeliruan.”
Kenyataan ini dikeluarkan sebagai maklum balas kepada laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris pada 1 Dis yang menyebut mengenai inisiatif usaha sama antara Perbadanan Kemajuan Negeri Perak dan Gamuda Berhad untuk melaksanakan projek infrastruktur rawatan dan agihan air di bawah NPWSS bagi membekalkan air terawat ke kawasan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (Kigip) serta lebihan air terawat kepada Pulau Pinang.
Menurut kenyataan itu, SPAN sebagai badan kawal selia industri perkhidmatan air bertanggungjawab memastikan perancangan, pembangunan, sehingga pengagihan air dilaksanakan mengikut peruntukan perundangan di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) dan perundangan subsidiarinya.
Dilaporkan projek NPWSS dirancang sebagai inisiatif strategik untuk memindahkan 1,500 juta liter sehari (MLD) air mentah dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah bagi memenuhi keperluan pengairan, domestik, dan perindustrian, termasuk pembangunan Kigip.