
Baginda bertitah, universiti awam itu memerlukan sedikit dana kerajaan untuk naik taraf, sambil menambah kampus yang vibran akan membantu memupuk minda pelajar di UIAM.
“Memandangkan universiti yang kita sayangi ini sudah mencecah 43 tahun, mungkin sudah tiba masanya untuk sedikit naik taraf, solekan di sana sini, dan mungkin juga sedikit ‘botox’ untuk menjadikan universiti ini kelihatan muda, segar, dan berseri semula,” titah baginda pada majlis konvokesyen UIAM semalam.
“Kampus yang indah akan memupuk minda yang cantik, dan melabur di UIAM merupakan pelaburan masa depan Malaysia,” titah Tengku Azizah, yang merupakan canselor UIAM yang mengetuai istiadat universiti itu. UIAM ditubuhkan pada 1983 sebagai universiti antarabangsa pertama Malaysia.
Titahnya, baginda mahu lebih terlibat dalam urusan universiti berbanding hanya menghadiri majlis konvokesyen tahunan. Peranan tersebut datang dengan rasa tanggungjawab yang mendalam serta kasih sayang dan komitmen terhadap universiti, titahnya lagi.
“Saya ingin beriringan bersama anda, untuk mendengar dan untuk menyumbang secara bermakna kepada masa depan institusi yang saya cintai ini. Pintu saya sentiasa terbuka.”
Titah baginda, UIAM dan pensyarahnya memikul tanggungjawab membentuk generasi akan datang, justeru universiti itu mesti mengambil, mengekalkan, dan memupuk kakitangan terbaiknya, termasuk staf akademik.
Tunku Azizah bertitah, UIAM seharusnya tidak sekadar menekankan ranking, tetapi mengukur nilainya melalui perwatakan, integriti, dan kecemerlangan dalam kalangan individu yang dikeluarkannya.
“Kita mesti menegakkan piawaian tertinggi, dan tiada ruang untuk sesiapa sahaja untuk merendahkan martabat UIAM. Marilah kita memulihkan kehormatannya sebagai universiti yang paling dihormati, dan berprestij di Malaysia dan antara yang terbaik di dunia.”
Ilmu, keberanian, dan kasih sayang
Tunku Azizah bertitah, buat graduan di majlis konvokesyen bahawa penderitaan rakyat Palestin harus menjadi peringatan bahawa ilmu yang diperoleh mesti diikuti dengan tindakan, keberanian, dan kasih sayang.
Walaupun graduan sebagai individu, mungkin kelihatan hanya mampu memberi impak kecil, secara kolektifnya mereka boleh membawa perubahan meluas.
“Secara individu kita hanyalah setitik, tetapi bersama-sama kita adalah lautan, dan lautan mampu membentuk semula dunia. Ijazah anda bukan sekadar pencapaian, ia adalah tanggungjawab diamanahkan kepada anda. Galaslah dengan kerendahan hati dan martabat. Gunakannya untuk meningkat, mempertahan, dan menyembuhkan.
“Jangan sesekali lupa asal-usul. Bersyukurlah di mana anda bermula. Berilah semula kepada masyarakat, kerana pendidikan bukanlah satu keistimewaan tetapi sesuatu yang dipertanggungjawabkan,” titah baginda.