Tiada bukti calon pemilihan PKR terlibat rasuah, kata sumber SPRM

Tiada bukti calon pemilihan PKR terlibat rasuah, kata sumber SPRM

Sumber berkata siasatan dapati sumber kewangan bagi beli aset adalah daripada simpanan peribadi serta hasil jualan perniagaan dan syarikat.

macc sprm
SPRM semalam menafikan ia digunakan untuk menyiasat calon dalam pemilihan PKR, atau menahan seorang penyokong rapat bekas timbalan presiden parti itu, Rafizi Ramli.
PETALING JAYA:
Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap seorang calon pemilihan PKR Mei lepas mendapati tiada bukti menunjukkan individu itu menerima rasuah daripada mana-mana kontraktor atau pihak lain.

Sumber SPRM berkata siasatan mendapati semua sumber kewangan bagi pembelian aset yang dilakukan individu berkenaan adalah daripada simpanan peribadi serta hasil jualan perniagaan dan syarikat.

“Semakan aset mendapati beliau (calon) memiliki beberapa rumah kos sederhana serta beberapa kenderaan, semuanya dibeli melalui pinjaman bank yang sah. Tuduhan bahawa individu itu memiliki sebuah rumah ‘luar biasa’ di Port Dickson adalah tidak tepat.

“Rumah itu sebenarnya merupakan aset pihak berkuasa tempatan yang melalui proses pelupusan biasa, dan permohonan pembelian dibuat pada harga RM55,000,” katanya yang dipetik Bersama sebagai berkata.

Individu itu juga menjalankan beberapa perniagaan sebelum menyertai politik, namun perniagaan berkenaan telah dijual.

Bagaimanapun, nama pendaftarannya tidak dipindahkan kepada pemilik baharu di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), menyebabkan terdapat keperluan untuk memberi penjelasan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berhubung hasil jualan.

Semalam, SPRM menafikan ia digunakan untuk menyiasat calon dalam pemilihan PKR, atau menahan seorang penyokong rapat bekas timbalan presiden parti itu, Rafizi Ramli.

SPRM berkata individu berkenaan hadir ke pejabat SPRM atas inisiatif sendiri, di mana keterangannya dirakam, dan beliau dibebaskan tanpa ditahan.

Rafizi dalam satu episod podcast ‘Yang Berhenti Menteri’ sebelum ini mendakwa penahanan itu berkaitan pembelian sebuah rumah secara tunai, yang menurutnya telah disahkan kepadanya oleh Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.