
Aksi final itu mengulangi keputusan edisi terdahulu di Kemboja dua tahun lalu apabila Malaysia juga menamatkan saingan sebagai naib juara.
Skuad Malaysia sebenarnya berharap dapat menamatkan kemarau pingat emas selama 20 tahun dalam acara berpasukan lelaki di temasya dwitahunan itu, namun hajat itu musnah apabila Indonesia — juara dalam tujuh daripada lapan edisi terakhir — sekali lagi membuktikan kelebihan mereka.
Malaysia bermula hambar apabila Leong Jun Hao tewas mudah kepada pemain ranking lebih tinggi, Alwi Farhan, dengan keputusan 12-21, 19-21 dalam aksi perseorangan pertama.
Situasi bertambah sukar apabila beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, turun menentang gandingan terbaik Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Reza Pahlevi Isfahani.
Pasangan Indonesia di kedudukan ketujuh dunia itu menampilkan aksi lebih kemas dan menumpaskan beregu nombor 2 dunia dari Malaysia dengan keputusan 21-12, 21-12, seterusnya meletakkan Indonesia 2-0 di hadapan.
Tanggungjawab untuk menghidupkan semula peluang Malaysia terletak pada pemain perseorangan kedua, Justin Hoh.
Namun dia gagal mengawal tekanan dan tewas 12-21, 14-21 kepada Zaki Ubaidillah, sekali gus menghadiahkan mata kemenangan kepada Indonesia.
Isnin lalu, pasukan wanita Malaysia meraih pingat gangsa selepas tewas di peringkat separuh akhir.