Doktor dedah realiti perang Sudan yang ‘tidak dipeduli’

Doktor dedah realiti perang Sudan yang ‘tidak dipeduli’

Dr Annie Lin daripada Doctors Without Borders menceritakan tentang kanak-kanak kelaparan dan pembedahan dalam gelap akibat sistem kesihatan yang runtuh.

war in sudan
Mangsa perang Sudan yang ada diantaranya menghidap penyakit Tibi bergantung sepenuhnya kepada kecekapan doktor kerana sistem kesihatan negara itu hampir lumpuh.
KUALA LUMPUR:
Kanak-kanak berusia empat tahun tetapi saiznya hanya seperti bayi yang menjadi kejutan pertama dihadapi Dr Annie Lin sebaik tiba di Sudan, Julai lalu.

Kepungan berbulan-bulan di bandar El Fasher di wilayah barat menyebabkan ramai kanak-kanak mengalami kekurangan zat teruk sehingga pertumbuhan mereka terbantut, kata Lin.

Beliau adalah pakar bius dihantar ke negara bergolak itu oleh Doctors Without Borders atau Médecins Sans Frontières (MSF).

“Ramai keluarga tiba dalam keadaan kritikal,” kata doktor dari Taiwan itu pada sesi dialog bersama bakal penyumbang Malaysia sebelum sidang media semalam.

Dr Annie Lin
Dr Annie Lin.

“Kalau saya tidak diberitahu usia mereka, saya sendiri akan menyangka kanak-kanak umur tiga atau empat tahun itu baru berusia setahun dua.”

Perang saudara antara Tentera Sudan dan kumpulan pemberontak Rapid Support Forces (RSF), yang kini masuk tahun kedua, telah memaksa lebih 15 juta penduduk melarikan diri dan memusnahkan apa yang tinggal daripada sistem kesihatan negara itu.

Lin ditempatkan di Tawila, sebuah pekan terpencil kira-kira 60km dari El Fasher. Untuk sampai ke situ sahaja mengambil masa tiga hari melalui perjalanan darat sepanjang 250-300km dari Chad.

Setibanya di Tawila, Lin terkejut melihat keadaan hospital — tiada mesin X-ray, tiada makmal, malah bekalan elektrik juga tidak menentu.

“Daripada semua misi yang pernah saya sertai, Sudan adalah tempat paling daif pernah saya lihat,” katanya.

Penduduk dewasa turut terjejas teruk akibat kepungan selama 18 bulan di El Fasher.

“Ada lelaki muda tahap haemoglobin hanya lima atau enam. Sepatutnya lebih 12,” katanya sambil menjelaskan darah mereka terlalu lemah untuk membawa oksigen mencukupi.

Luka kecil pula mudah menjadi besar dan bernanah kerana sistem imun pesakit lemah akibat kelaparan dan kekurangan air bersih.

Apabila El Fasher jatuh ke tangan RSF pada 26 Okt, Tawila dibanjiri keluarga pelarian.

“Biasanya kami buat enam hingga lapan pembedahan sehari. Selepas kejatuhan El Fasher, jumlah itu melonjak kepada 24 sehari, hampir dua minggu berturut-turut,” kata Lin.

Dengan hanya dua bilik pembedahan, MSF terpaksa memasang khemah untuk menambah dua lagi ruang. Namun pasukan perubatan tetap bekerja dari pagi hingga tengah malam, sering kali tanpa sempat makan.

Bekalan elektrik yang sering terputus menambah risiko.

Lin mengimbau satu kes apabila lampu terpadam ketika pembedahan abdomen sedang dijalankan.

“Kami terpaksa guna ventilator secara manual dan bekerja dalam gelap,” katanya.

Ketiadaan pakar juga memaksa Lin melakukan prosedur di luar bidangnya. Pernah sekali, beliau mengeluarkan cebisan kacang bendi yang tersangkut di esofagus bayi berusia sembilan bulan — biasanya prosedur pakar ENT.

“Bayi itu sudah muntah lebih sehari. Kami tiada pilihan lain,” katanya.

Satu kes yang terus menghantuinya ialah seorang ibu kepada 10 anak yang rebah ketika pembedahan caesarean. Pasukan itu berjaya mengembalikan degupan jantungnya, tetapi tanpa imbasan atau ujian darah, mereka tidak tahu apa puncanya.

“Dia tidak pernah sedar semula. Hari itu, 10 anak kehilangan ibu mereka,” kata Lin.

Beban emosi kakitangan tempatan juga amat berat. “Ada jururawat datang ke bilik pembedahan sambil menangis kerana ahli keluarga mereka dibunuh,” katanya.

“Lelaki di sana kata, ‘Lelaki Muslim tidak menangis’, tapi saya tahu mereka sedang menanggung kesedihan yang amat.”

Ketua komunikasi MSF Asia Pasifik, Polly Cunanan, berkata Sudan kekal antara krisis kemanusiaan paling terpinggir di dunia.

“Hanya tinggal sangat sedikit organisasi di lapangan. MSF adalah antara satu-satunya kumpulan antarabangsa yang masih mengendalikan hospital di kawasan ini,” katanya.

Cunanan menggesa rakyat Malaysia terus mengikuti perkembangan dan membantu dengan sumbangan wang atau barangan asas.

“MSF bergantung kepada penyokong individu. Sumbangan kecil pun membantu kami membeli minyak, bekalan kecemasan dan ubat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.