
Karim berkata kadar tambang kena dinilai secara seimbang kerana AirBorneo perlu dibenarkan menstabilkan operasi tanpa menjejaskan syarikat penerbangan lain, lapor Dayak Daily.
“Jika kita turunkan harga serendah-rendahnya sehingga AirBorneo tidak mampu menampung operasi, tiada gunanya. Mesti ada keseimbangan.
“Jika kita turunkan harga terlalu banyak sehingga syarikat penerbangan lain keluar dan tidak lagi mahu datang ke Sarawak kerana semua memilih AirBorneo, akhirnya kita yang akan rugi,” katanya yang dipetik sebagai berkata.
Karim mengakui terdapat rungutan di media sosial bahawa harga tiket untuk laluan seperti Sibu-Kota Kinabalu dan Sibu-Kuching yang melebihi RM200 adalah ‘terlalu mahal’, tetapi berkata ‘harga ideal’ adalah subjektif.
“Bila anda menaiki bas dari Kuching ke Miri, berapa anda bayar? Untuk penerbangan setengah jam, sudah tentu anda bayar lebih sedikit.
“Untuk sesetengah orang, RM200 lebih mungkin tiada masalah dan untuk yang lain, mungkin tidak. Untuk ahli perniagaan, RM250 tidak memberi kesan. Tetapi untuk petani, mungkin terasa mahal,” katanya.
Beliau juga meminta orang ramai supaya tidak membuat kesimpulan awal, dan menegaskan harga akan berubah apabila operasi AirBorneo semakin matang.
“Kita tunggu dulu. Biarkan sistem stabil dan pesawat masuk. Lama-kelamaan, harga akan stabil,” katanya.
AirBorneo melancarkan laman web rasminya pada 10 Dis, menawarkan penerbangan di seluruh Sarawak, Sabah dan Labuan, termasuk Kuching, Miri, Sibu, Bintulu, Lawas dan Limbang, serta destinasi pedalaman seperti Ba’kelalan, Long Lellang, Long Seridan dan Bario.
Syarikat penerbangan itu akan memulakan operasi awal bulan depan menggunakan pesawat turboprop sebelum beralih kepada perkhidmatan jet mulai Julai tahun depan.