Usahawan Azlan Al Amin lapor polis dakwa difitnah dengan repot palsu

Usahawan Azlan Al Amin lapor polis dakwa difitnah dengan repot palsu

Azlan Abdullah dakwa laporan penipuan hartanah terhadapnya palsu dan kes terdahulu turut memihak kepadanya dengan kemenangan saman RM590,000.

Mohamad Azlan Abdullah Ali
Mohamad Azlan Abdullah mahu pihak berkuasa menyiasat secara terperinci laporan disyaki palsu bagi mengelakkan penyalahgunaan proses undang-undang. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Usahawan hartanah terkenal Mohamad Azlan Abdullah, atau Azlan Al Amin, membuat laporan di Balai Polis Jerteh, Terengganu, terhadap seorang lelaki didakwa mengemukakan laporan palsu berhubung urus niaga hartanah melibatkan tanah milik bapa individu itu.

Lelaki terbabit, Shahruldi Mahafiz Ramli, sebelum ini membuat laporan mendakwa Azlan menipu dalam transaksi berkenaan, menyebabkan usahawan itu disiasat Bahagian Komersial IPD Setiu.

Azlan berkata, beliau memberikan kerjasama penuh sepanjang siasatan, sebelum kes itu dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara dan diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

“Akibat laporan tersebut, saya dipandang serong dan dituduh tidak amanah. Namun, keputusan NFA membuktikan saya tidak melakukan sebarang kesalahan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau juga mendedahkan Shahruldi pernah menuduhnya menipu hasil jualan dua bidang hartanah, namun Mahkamah Sesyen Besut pada 23 Mac lalu memutuskan kemenangan saman fitnah bernilai RM590,000 memihak kepadanya.

Azlan mahu pihak berkuasa menyiasat secara terperinci laporan yang disyaki palsu itu bagi mengelakkan penyalahgunaan proses undang-undang.

Beliau turut memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu yang terus menyebarkan fitnah atau tohmahan terhadapnya.

“Ini bagi memastikan kebenaran dapat ditegakkan dan bagi mengelakkan mana-mana individu mengambil kesempatan membuat repot palsu yang tidak berasas serta menyalahgunakan proses undang-undang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.