
Ketua Polis Machang Ahmad Shafiki Hussin berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan kejadian daripada orang awam pada 6.40 petang.
“Siasatan mendapati kemalangan berlaku pada 6.20 petang ketika penunggang motosikal dari arah pintu utama universiti itu dalam perjalanan pulang ke asrama,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.
“Setibanya di lokasi kejadian, ketika motosikal sedang mendaki bukit, seorang pejalan kaki dipercayai melintas jalan secara mengejut, menyebabkan penunggang motosikal itu mengelak ke kiri sebelum berlaku perlanggaran.”
Beliau berkata, akibat pelanggaran, pejalan kaki itu – seorang pelajar perempuan berusia 19 tahun – terjatuh ke atas pembahagi jalan dan cedera di kepala.
Dia kemudian disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Machang untuk bedah siasat, tambahnya.
Kes disiasat lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Khairulanwar Adam melalui talian 011-10085165 atau Bilik Gerakan IPD Machang 09-9751222.