
The Lost Food Project, sebuah NGO yang aktif mengagih makanan kepada golongan memerlukan, berkata walaupun terdapat lebihan makanan yang cukup untuk diberi kepada golongan lapar, melebihi empat kali ganda daripada keperluan, namun 40% sisa makanan yang boleh dielakkan masih dihantar ke tapak pelupusan sampah.

Pengasasnya, Suzanne Mooney, berkata insentif fiskal seperti rebat cukai makanan mampu mengimbangi kos mengasingkan, menyimpan, dan menyediakan lebihan makanan; serta menggalakkan lebih banyak syarikat rantaian bekalan makanan menderma secara konsisten berbanding pelupusan.
“Malaysia ada perlindungan undang-undang untuk penderma makanan yang memberi dengan niat baik, jadi langkah seterusnya adalah memberi ganjaran kepada mereka yang menyumbang secara konsisten dan pada volum yang banyak melalui insentif fiskal,” katanya kepada FMT.
Tambahnya, negara-negara lain membuktikan bahawa insentif cukai secara dramatik meningkatkan derma makanan dan mengurangkan sisa.
Bagaimanapun, sebahagian kecil daripada rebat harus dikongsi dengan bank makanan yang menjadi rakan kongsi, untuk memastikan pengawasan pihak ketiga yang bebas, ke atas pengumpulan dan pengagihan semula.
Mengulas lanjut, Suzanne berkata insentif rebat cukai makanan untuk penyumbang, serta sokongan operasi berasaskan volum makanan untuk bank makanan boleh menghasilkan sistem menyelamatkan lebihan makanan yang mampan dan berimpak tinggi, di peringkat nasional.
“Untuk kekal lestari dalam jangka panjang, bank makanan memerlukan struktur yang memudahkan pelbagai bentuk sokongan bukan makanan yang kritikal termasuk pembiayaan operasi pelbagai tahun, sokongan teknologi, tenaga manusia khusus dan prasarana penyimpanan sejuk,” katanya.
Sementara itu, Suzanne menggesa pengenalan garis panduan pelabelan tarikh makanan yang jelas, terutama bagi membezakan tarikh ‘guna sebelum’ dan ‘terbaik sebelum’.
Menurutnya, kekurangan panduan terperinci di Malaysia pada ketika ini menyebabkan banyak syarikat mengenakan tatacara operasi standard (SOP) dalaman secara ketat, sehingga mengakibatkan pelupusan awal sejumlah besar makanan berbungkus yang sebenarnya masih selamat.
“Di Australia misalnya, perundangan membezakan dengan jelas yang mana ‘guna sebelum’ (berkaitan keselamatan) bermakna produk tidak boleh dimakan selepas tarikh tersebut. Manakala ‘terbaik sebelum’ (berkaitan kualiti) bermakna produk masih selamat jika disimpan dengan betul,” katanya.
Suzanne berkata, dasar tarikh luput dalaman yang ketat antara faktor yang menghalang kerjasama antara bank makanan dengan hotel dan peruncit, selain kebimbangan tentang melindungi jenama, beban kerja pentadbiran dan logistik kutipan yang rumit.
8 Dis lalu, media melaporkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali berkata Pelan Tindakan Food Bank 2026-2030 dijangka siap dan bakal dilancarkan pada awal tahun depan.
Katanya, pelan tindakan itu akan memberi tumpuan pada dua komponen utama iaitu kemampanan dan sekuriti makanan, serta bagaimana ia berperanan dalam membantu kos sara hidup rakyat, serta menggunakan pendekatan ‘Whole of Nation’ bagi mengatasi jurang operasi sedia ada.