
“Pendekatan ini membolehkan lebih banyak keluarga dibantu tanpa menambah keluasan tanah sekali gus menjadikan pelaksanaan Rumah Mesra SMJ lebih inklusif dan praktikal,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2026, di DUN Sabah, Kota Kinabalu.
Menurut Bernama, Razali turut mencadangkan supaya diperkenalkan Rumah Mesra SMJ bertingkat khusus untuk kawasan separa bandar sebagai sebahagian daripada dasar perumahan mampan Sabah.
Beliau berkata, realiti di kawasan separa bandar seperti Sepanggar, menuntut pendekatan lebih strategik diperkenalkan berikutan isu utama bukan sekadar bilangan unit, tetapi keterbatasan tapak tanah akibat kepadatan penduduk yang semakin meningkat.
Razali berkata, satu tapak tanah yang sebelum ini hanya mampu menempatkan sekitar 20 unit rumah setingkat, berpotensi menempatkan dua kali ganda jumlah Rumah Mesra SMJ sekiranya dibangunkan dalam bentuk bertingkat.
“Ini bukan sahaja lebih cekap dari segi guna tanah, malah mampu memberikan lebih banyak rumah kepada orang Sabah,” katanya, sambil menyambut baik peningkatan kuota Rumah Mesra SMJ kepada 50 unit bagi setiap DUN dalam Belanjawan Sabah 2026 yang memberi kelegaan kepada penduduk untuk memiliki rumah sendiri.
Sementara itu, Razali turut berpendapat peruntukan RM670,000 bagi penambahan Pusat Autisme Sabah, perlu meliputi kerja-kerja menaik taraf supaya pusat berkenaan dapat berfungsi sebagai ‘rumah kedua’ kepada golongan terbabit dan bukan sekadar sebuah pusat latihan.
Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan pusat berkenaan bukan sahaja menawarkan pendidikan awal berkualiti dan mampu milik kepada kanak-kanak autisme seawal usia tiga hingga tujuh tahun, malah menyediakan persekitaran lebih selamat dan terurus, latihan kemahiran, pembentukan rutin kehidupan serta aktiviti sosial.
“Selain itu, saya juga mencadangkan biasiswa khas dan dana latihan kemahiran melibatkan soft skills dan latihan vokasional supaya anak-anak autistik dapat berdikari mengikut keupayaan masing-masing,” katanya.