Dewan Negara lulus RUU berkaitan perlindungan pekerja

Dewan Negara lulus RUU berkaitan perlindungan pekerja

Skim Lindung 24 jam bakal memberi manfaat kepada hampir 9.6 juta pekerja formal di seluruh negara.

Hampir 9.6 juta pekerja formal akan mendapat manfaat daripada RUU Keselamatan Sosial Pekerja.
PETALING JAYA:
Dewan Negara meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2025 yang bertujuan memperkenalkan Skim Lindung 24 jam iaitu perlindungan menyeluruh kepada pekerja sepanjang masa termasuk di luar waktu bekerja.

Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) memaklumkan RUU dibentangkan Menterinya R Ramanan bakal memberi manfaat kepada hampir 9.6 juta pekerja formal di seluruh negara.

Kementerian itu turut memaklumkan pindaan itu dapat menutup kelompangan perlindungan sedia ada dengan menyelesaikan isu 12,306 tuntutan kemalangan yang ditolak sejak tahun 2023 hingga Okt 2025 kerana dikategorikan berlaku di luar waktu bekerja.

“Ini menandakan satu fasa baharu dalam usaha kerajaan melalui Kesuma untuk memperkukuh jaringan perlindungan sosial negara agar lebih menyeluruh, inklusif dan selari dengan keperluan pasaran buruh masa kini.

“Pelaksanaan skim ini selaras dengan perubahan corak pekerjaan semasa yang semakin mengamalkan model kerja hibrid dan aturan kerja anjal, di mana sempadan antara waktu kerja dan kehidupan harian semakin kabur,” katanya dalam kenyataan.

Sistem perlindungan sosial negara itu akan dilaksanakan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Dewan Rakyat pada 2 Dis lalu meluluskan RUU Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2025, antara lain bertujuan memperkenalkan Skim Lindung 24 jam, iaitu perlindungan menyeluruh kepada pekerja sepanjang masa termasuk di luar waktu bekerja.

Antara faedah komprehensif yang ditawarkan melalui Skim Lindung 24 jam termasuk faedah perubatan, Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS), Faedah Hilang Upaya Kekal (FHUK), Faedah Orang Tanggungan (FOT), Elaun Layanan Sentiasa (ELS), Faedah Pengurusan Mayat (FPM), kemudahan pemulihan jasmani atau vokasional dan kemudahan pinjaman pendidikan.

Dalam pada itu, Kesuma memberi jaminan pelaksanaan skim itu akan dipantau secara rapi.

Kesuma juga akan memastikan keberkesanan, ketelusan serta penyampaian manfaat yang cepat, adil dan berintegriti kepada semua pekerja setelah ia dikuatkuasakan kelak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.