
Majistret S Arunjothy membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Amritpreet Kaur Randhawa memaklumkan mahkamah keputusan ujian air kencing Wee menunjukkan hasil negatif.
Beliau turut berkata pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan berkenaan terhadap Wee.
Peguam Wee Joshua Tay kemudian memohon mahkamah mengeluarkan perintah pelepasan dan pembebasan sepenuhnya terhadap anak guamnya.
“Dengan keputusan ujian yang negatif, tiada lagi asas untuk mendakwa beliau semula,” katanya.
Mahkamah seterusnya membenarkan permohonan itu dan membebaskan Wee sepenuhnya daripada pertuduhan berkenaan.
Sebelum ini, Wee mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan mengikut Seksyen 39A(1) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang berkaitan dengan pemilikan dan penggunaan dadah.
Kes berkaitan pemilikan dadah yang dihadapinya dijadualkan untuk sebutan semula pada 19 Jan tahun depan.
Wee ditahan 22 Okt lalu di sebuah hotel di ibu negara selepas polis menemui sembilan pil biru yang disyaki dadah jenis ekstasi di dalam bilik penginapannya.
Polis sebelum ini mendakwa ujian awal menunjukkan beliau positif amphetamine, methamphetamine, ketamine dan THC, sebelum didakwa di mahkamah dua hari kemudian.
Selain itu, pemuzik berkenaan juga pernah ditahan bagi membantu siasatan berhubung kematian pempengaruh Taiwan, Hsieh Yun Hsin, namun dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu laporan toksikologi dan bedah siasat.