
Sebaliknya, jika terpaksa bekerjasama semula dengan Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan, parti teras BN, Umno, berkemungkinan akan mengekalkan hubungan baik dengan PKR dan Amanah, namun kekal menunjukkan sikap tidak mesra secara terbuka terhadap DAP, kata Azmi Hassan dari Akademi Nusantara kepada FMT.
PKR, DAP, dan Amanah merupakan komponen dalam PH. PH dan BN pula merupakan sekutu dalam kerajaan perpaduan, bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
“Ini bermakna, Umno dan DAP akhirnya akan terpaksa menjadi rakan kongsi, sama seperti hubungan antara BN dengan GRS sekarang,” kata Azmi.
Beliau merujuk kepada pakatan GRS-BN yang dibentuk selepas PRN Sabah pada 29 Nov lalu, menyaksikan GRS hampir mencapai majoriti mudah walaupun memperoleh jumlah kerusi tertinggi.
GRS dan BN bersaing pada PRN berkenaan, namun masing-masing kekal bekerjasama dengan PH. Bagaimanapun, PH hanya berjaya menang satu kerusi, sekali gus melenyapkan harapan memainkan peranan utama dalam politik Sabah. Sokongan Umno membolehkan Pengerusi GRS Hajiji Noor kekal ketua menteri.
Meskipun begitu, cubaan Sabah Umno pada 2023 untuk menjatuhkan Hajiji masih segar dalam ingatan ramai penyokong GRS.
Komen Azmi itu menyusul selepas sokongan terbuka beberapa pemimpin DAP terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan Najib menjalani baki hukuman penjara bagi kes rasuah SRC International bawah tahanan rumah.
Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin, menerima kecaman hebat susulan kenyataannya bahawa keputusan mahkamah itu menjadi ‘satu lagi sebab untuk diraikan pada hujung tahun ini’. Sebagai tindak balas, Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki, berkata mungkin sudah tiba masa untuk Umno menyemak semula kerjasamanya dengan DAP.
Azmi berkata, keputusan ke atas Najib itu akan menjadi alat mobilisasi yang ampuh bagi Umno untuk memikat pengundi terasnya, yang mana beliau percaya itulah yang sedang dilakukan parti berkenaan ketika ini.
“Umno sedang cuba melancarkan gerakan dalam kalangan akar umbinya untuk menggambarkan Najib menjadi mangsa selepas keputusan mahkamah tersebut,” katanya sambil menambah DAP juga melakukan perkara sama terhadap penyokong bandar mereka melalui reaksi pemimpinnya terhadap keputusan mahkamah itu.
Hanya sandiwara politik
Namun, Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia mempunyai pandangan berbeza.
Beliau berkata, Umno dan DAP sekadar membakar semangat penyokong masing-masing, malah kedua-duanya sebenarnya masih memerlukan antara satu sama lain. “Ia hanyalah sandiwara politik,” katanya kepada FMT.
Beliau menjangkakan kekalutan mengenai Najib akan berlalu, sama seperti isu lain yang menyaksikan pemimpin Umno dan DAP bertelingkah dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, termasuk isu penjualan stoking tertera kalimah ‘Allah’.
Sementara itu, Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia, berkata DAP kini berada dalam situasi tersepit ketika berusaha untuk mengekalkan penyokong terasnya, selain cuba meluaskan sokongan orang Melayu.
“Dengan meraikan (keputusan mahkamah itu), DAP membangkitkan kemarahan Umno. Jika ia memperlahankan nada tersebut, ia seperti kelihatan seolah-olah tidak mempunyai pengaruh sebenar dalam kalangan penyokong terasnya,” katanya.
Beliau bersetuju Yeo dan pemimpin DAP yang lain berisiko menjauhkan pengundi Melayu serta parti Melayu. “Mengulangi kenyataan-kenyataan sebegini juga boleh merosakkan hubungan antara parti,” katanya kepada FMT.”
“Mesti ada batasnya,” katanya. “Kenyataan dibuat pemimpin DAP mencerminkan parti itu secara keseluruhannya. Mereka sepatutnya menyerahkan kepada pemimpin tertinggi untuk menguruskan perbezaan pendapat.”