
Bagaimanapun, kekosongan luar jangka bagi DUN Bintong, DUN Guar Sanji dan DUN Chuping kekal berkuatkuasa, menurut Rus’sele Eizan pada sidang media di Arau, Perlis petang tadi.
Perkembangan ini menyusuli komitmen PAS untuk meneruskan kelangsungan dan keberadaan parti itu dalam kerajaan Perlis, dan jaminan menteri besar baharu, Abu Bakar Hamzah, untuk meneruskan agenda perpaduan Perikatan Nasional (PN), katanya.
“Maka saya mendapati bahawa majoriti ahli DUN adalah tidak terjejas dengan tiga kekosongan luar jangka tersebut, justeru tiada lagi keperluan untuk diadakan pilihan raya semula bagi tiga kekosongan luar jangka tersebut,” kata Rus’sele.
Keputusan ini dimaklumkan kepada SPR melalui surat pada 30 Dis, katanya.
Rus’sele menyerahkan notis pengosongan kerusi DUN Bintong, DUN Guar Sanji dan DUN Chuping kepada SPR pada Isnin, bagi memohon PRK diadakan bagi memilih semula wakil rakyat di tiga kawasan berkenaan, lapor Berita Harian.
Perkembangan itu menyusuli pengumuman PAS pada Rabu lepas, bahawa keahlian Saad Seman (Chuping), Anwar Ismail (Bintong), dan Ridzuan Hashim (Guar Sanji) terhenti, berdasarkan Fasal 76 dan Fasal 15A(1)(b) perlembagaan parti.
Fasal 15A(1)(b) menyatakan keahlian seorang ahli dipilih sebagai seorang Adun terhenti serta-merta apabila ahli tersebut menyertai atau menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak yang bertentangan dengan arahan atau pendirian parti.
Abu Bakar berharap isu pengosongan luar jangka tiga kerusi berkenaan dapat diselesaikan dalam waktu terdekat, selain tidak membawa kepada PRK, lapor Astro Awani.