Pelbagai saman sivil, prosiding kebankrapan menanti Najib pada 2026

Pelbagai saman sivil, prosiding kebankrapan menanti Najib pada 2026

Bekas perdana menteri Najib Razak mesti mempertahankan beberapa saman sivil, termasuk yang berkaitan dengan sabitan jenayahnya dalam kes SRC dan 1MDB.

najib razak
Pada 26 Dis, Mahkamah Tinggi memerintahkan Najib Razak memulakan hukuman penjara 15 tahun dalam kes 1MDB pada 23 Ogos 2028, selepas hukuman penjara enam tahun dalam kes SRC International selesai. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bekas perdana menteri Najib Razak yang kini dipenjarakan — selepas disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman minggu lalu atas pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berkaitan skandal 1MDB — dijangka akan kembali ke mahkamah pada 2026 bagi menghadapi beberapa tindakan sivil.

Antaranya ialah saman RM35 bilion yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur oleh 1MDB dan empat anak syarikatnya terhadap Najib serta beberapa bekas anggota pengurusan tertinggi syarikat itu.

Tertuduh lain bersama Najib termasuk bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Nik Faisal Ariff Kamil dan bekas pengarah eksekutif pembangunan perniagaan, Casey Tang, yang kedua-duanya masih gagal dikesan.

Turut dinamakan sebagai defendan ialah Terence Geh, bekas timbalan ketua pegawai kewangan syarikat itu; Jasmine Loo, bekas penasihat undang-undang; Vincent Beng, bekas ketua pegawai pelaburan; serta Radhi Mohamad, bekas ketua pegawai operasi.

1MDB memfailkan tindakan itu pada 2021.

Satu lagi kes mahkamah yang telah lama tertangguh dan dijangka dibicarakan semula ialah saman yang difailkan pada 2017 oleh bekas Ahli Parlimen Damansara Tony Pua terhadap Najib atas dakwaan salah laku dalam jawatan awam. Kerajaan juga dinamakan sebagai defendan bersama dalam saman tersebut.

Kedua-dua saman itu sebelum ini ditangguhkan sementara menunggu keputusan muktamad perbicaraan kes rasuah 1MDB.

Saman SRC

Selain itu, Najib turut berdepan tuntutan berasingan yang difailkan oleh SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB, bagi mendapatkan semula USD1.18 bilion. Jumlah tersebut merupakan dana yang dipinjam daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) untuk pelaburan dalam sektor tenaga.

Najib, yang turut memegang portfolio kewangan semasa pentadbirannya, bersama Nik Faisal juga didakwa telah menyalahgunakan harta syarikat serta berkomplot secara tidak jujur untuk menukarnya bagi kegunaan sendiri.

Dalam saman itu, Najib telah menamakan bekas pengerusi SRC, Ismee Ismail, serta bekas pengarah Suboh Yasin, Shahrol Azral Ibrahim Halmi, Azhar Osman Khairuddin dan Che Abdullah @ Rashidi Che Omar sebagai pihak ketiga. Najib menuntut indemniti atau sumbangan daripada mereka bagi sebarang ganti rugi yang mungkin dipertanggungjawabkan ke atasnya.

Hakim Ahmad Fairuz Zainol Abidin dijangka menyampaikan keputusannya dalam kes itu dalam masa terdekat, selepas beliau mempengerusikan perbicaraan dan mendengar hujahan penutup daripada semua pihak.

Saman SRC itu bermula tahun lalu, susulan pengesahan oleh Mahkamah Persekutuan pada Ogos 2022 terhadap sabitan Najib atas kesalahan menyalahgunakan RM42 juta dana SRC.

Mahkamah tertinggi ketika itu turut mengesahkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi terhadap bekas perdana menteri itu.

Bagaimanapun, pada 30 Jan tahun lalu, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan telah mengurangkan separuh tempoh hukuman penjara Najib serta menurunkan jumlah denda kepada RM50 juta.

Tindakan kebangkrapan

Najib juga berdepan prosiding kebankrapan kerana gagal melunaskan cukai berjumlah RM1.69 bilion yang terhutang kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi tahun taksiran 2011 hingga 2017.

Permohonannya untuk menangguhkan prosiding tersebut telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada November tahun lalu dan beliau kini sedang merayu terhadap keputusan itu.

Peguam R Kengadharan memberitahu FMT bahawa pihak plaintif dalam saman sivil berdepan beban pembuktian yang lebih rendah berbanding perbicaraan jenayah, sambil menjelaskan bahawa mereka hanya perlu membuktikan kes ‘atas imbangan kebarangkalian’.

“Ini berbeza dengan perbicaraan jenayah SRC dan 1MDB, di mana pihak pendakwaan perlu memenuhi piawaian pembuktian yang lebih tinggi iaitu ‘melampaui keraguan munasabah’,” katanya.

Bagaimanapun, Kengadharan berkata plaintif masih perlu mengemukakan bukti yang mencukupi untuk berjaya dalam kes masing-masing.

“Sabitan dalam kes jenayah tidak secara automatik memberi kelebihan kepada plaintif — mereka masih perlu mengemukakan keterangan lisan dan dokumen bagi menyokong tuntutan mereka,” katanya.

Sementara itu, peguam Alliff Benjamin Suhaimi berkata keputusan saman sivil berkenaan berkemungkinan memberi kesan kewangan yang besar terhadap Najib.

“Jika Najib didapati bertanggungjawab, beliau perlu membayar ganti rugi, faedah dan kos kepada plaintif,” katanya, sambil menambah bahawa Najib berhak menuntut semula kos guaman sekiranya mana-mana saman tersebut gagal.

Benjamin turut menjelaskan bahawa jika penghakiman memihak kepada plaintif, ia boleh dikuatkuasakan terhadap Najib melalui pelbagai tindakan, termasuk pembekuan akaun peribadi serta permohonan untuk menjual dan menyita asetnya.

Tambah beliau, penghakiman kewangan yang tidak dilunaskan melebihi RM100,000 juga boleh menjadi asas kepada prosiding kebankrapan.

Benjamin juga berkata plaintif mempunyai pilihan untuk menarik balik saman atau merundingkan penyelesaian yang mungkin merangkumi penghakiman persetujuan, yang terma-terma tersebut boleh dirahsiakan sekiranya dipersetujui oleh semua pihak.

Pada 26 Disember 2025, Hakim Collin Lawrence Sequerah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.387 bilion terhadap bekas Ahli Parlimen Pekan itu selepas mensabitkannya atas kesalahan salah guna kuasa dalam kes 1MDB.

Hakim turut memerintahkan supaya hukuman penjara Najib bermula pada 23 Ogos 2028, iaitu sehari selepas bekas perdana menteri itu menamatkan hukuman penjara enam tahun dalam kes SRC.

Sequerah juga menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan memerintahkan Najib membayar jumlah boleh diperoleh semula sebanyak RM2.08 bilion selepas mensabitkannya atas 21 pertuduhan pengubahan wang haram.

Najib telah memfailkan notis rayuan terhadap sabitan dan hukuman tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.