
Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh, berkata Umno dan PAS mesti berusaha ke arah menyatukan orang Melayu melalui MN, yang kemudiannya berkubur apabila PAS dan Bersatu membentuk Perikatan Nasional (PN).
“Kita sudah sedar apakah kesilapan yang telah dilakukan iaitu apabila berpecahnya Umno dan PAS maka penyatuan Melayu itu hampir tidak berlaku,” katanya.
Apabila orang Melayu berpecah, akan ada pihak yang cuba mengambil kesempatan kesan perpecahan berlaku, yang mana seterusnya menimbulkan keresahan di peringkat akar umbi, katanya.
“Sebab itulah saya mencadangkan agar Umno dan PAS mesti berusaha ke arah menyatukan orang Melayu,” katanya kepada pemberita selepas konvensyen khas Pemuda Umno.
Ditanya sama ada Bersatu akan dijemput menyertai MN, Akmal berkata beliau tidak mempunyai masalah dengan parti pimpinan Muhyiddin Yassin itu.
“Tetapi, jika kita mahu menyatukan orang Melayu, kedua-dua parti ini (Umno dan PAS) mesti bergabung tenaga terlebih dahulu,” katanya. “Dan, selepas itu barulah kita akan menjemput yang lain. Mereka sangat dialu-alukan.”
Seruan Akmal bekerjasama dengan PAS menyusul susulan gesaan Pengarah Pilihan Raya PAS Sanusi Nor, untuk menghidupkan semula MN menjelang PRU akan datang.
Minggu lalu, Sanusi berkata hubungan antara PAS dan Umno adalah sangat penting bagi kestabilan politik, terutamanya di peringkat akar umbi. Seruan itu senada dengan pemimpin PAS lain yang berulang kali membangkitkan idea menghidupkan semula pakatan berkenaan.
MN dibentuk sekitar enam tahun lalu dengan niat menyatukan undi Melayu-Islam ketika Umno dan PAS berada dalam blok pembangkang, susulan kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada PRU pada Mei 2018.
Pakatan tersebut berkubur selepas PAS membentuk PN bersama Bersatu, sambil menegaskan agar Bersatu turut disertakan dalam MN, yang mana perkara itu ditentang Umno.