Keluarga 3 individu kes tembak Durian Tunggal serah memorandum kepada KPN

Keluarga 3 individu kes tembak Durian Tunggal serah memorandum kepada KPN

Memorandum itu mengemukakan lima tuntutan rasmi bagi mendesak tindakan diambil terhadap anggota dan pegawai polis terlibat.

Keluarga tiga individu
Keluarga tiga individu yang ditembak mati di Durian Tunggal hadir bersama peguam Zaid Malek (tiga kanan), Rajesh Nagarajan dan aktivis Arun Dorasamy (empat kiri) untuk menyerahkan memorandum bantahan awam kepada Ketua Polis Negara di Bukit Aman.
KUALA LUMPUR:
Keluarga tiga individu yang ditembak mati di Durian Tunggal, Melaka pada 24 Nov lalu menyerahkan memorandum bantahan awam bersama lima tuntutan rasmi kepada Ketua Polis Negara, termasuk mendesak tindakan diambil terhadap anggota dan pegawai polis terlibat.

Penyerahan memorandum di Bukit Aman pada hari ke- 40 insiden itu dianjurkan Puspanathan Action Team (PUSAT) dan turut disertai peguam Zaid Malek, Rajesh Nagarajan bersama aktivis, Arun Dorasamy.

Lima tuntutan yang dikemukakan menerusi memorandum berkenaan ialah mendesak penahanan pegawai polis terlibat, menggantung tugas semua pegawai berkaitan sepanjang siasatan, memindahkan atau menggantung tugas Ketua Polis Melaka serta menyiasat dakwaan bukti dimusnahkan dan kenyataan palsu.

Zaid yang mewakili keluarga tiga lelaki berkenaan, berkata kes terbabit didakwa dilayan secara berbeza memandangkan terdapat penglibatan anggota polis dalam kes jenayah yang serius.

Katanya, sehingga kini tiada tangkapan atau penggantungan tugas dibuat walaupun kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Jika ini melibatkan orang awam, tindakan segera akan diambil. Tetapi dalam kes ini, anggota terlibat masih bertugas walaupun siasatan membabitkan kehilangan nyawa,” katanya pada sidang media hari ini.

“Siasatan juga didakwa bergerak agak perlahan dan tidak telus. Kami tidak menerima sebarang maklumat jelas mengenai perkembangan siasatan,” katanya pada sidang media.

Polis sebelum ini dilaporkan telah menyerahkan rakaman audio berkaitan kes terbabit kepada CyberSecurity Malaysia bagi tujuan analisis forensik.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman M Kumar yang dipetik Bernama berkata, perbandingan suara daripada keluarga, iaitu pengadu sendiri dan pegawai polis yang terlibat dalam operasi berkaitan juga telah diambil bagi tujuan pengesahan.

Sementara itu, Arun berkata penyerahan memorandum itu dibuat kerana janji ketelusan yang diumumkan oleh pihak berkuasa sejak penubuhan pasukan khas pada awal Disember lalu, didakwa belum diterjemahkan secara nyata.

“Sehingga kini, kami tidak dimaklumkan siapa yang mengetuai pasukan khas ini, apakah siasatan yang telah dijalankan dan mengapa saksi serta pihak yang tampil dengan bukti masih belum dipanggil memberi keterangan,” katanya.

Pada awal pagi 24 Nov lepas, tiga lelaki berusia antara 24 hingga 29 tahun ditembak mati selepas seorang daripada mereka didakwa melibas parang ke arah seorang anggota polis di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal.

Dalam kejadian itu, anggota polis yang diserang cedera parah pada lengan kirinya.

Bagaimanapun, ahli keluarga tiga suspek itu menolak dakwaan tersebut dan susulan itu, polis menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat kes itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.