Pemimpin Pemuda Umno tolak gesaan Akmal keluar kerajaan

Pemimpin Pemuda Umno tolak gesaan Akmal keluar kerajaan

Ketua Penerangan Pemuda Umno Jeli Wan Mahussin Wan Zain berkata langkah terbabit tidak akan menguatkan Umno dan menyelamatkan Melayu tetapi melemahkan pengaruh parti.

Umno perlu realistik dan berhati-hati sebelum membuat keputusan meninggalkan kerajaan perpaduan demi kerjasama dengan PAS menerusi Muafakat Nasional supaya tidak mengulangi kesilapan lalu, kata Wan Mahussin Wan Zain.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin akar umbi Pemuda Umno menolak gesaan Ketuanya Dr Akmal Saleh supaya parti itu menarik diri daripada kerajaan perpaduan untuk bekerjasama dengan PAS menerusi Muafakat Nasional (MN).

Ketua Penerangan Pemuda Umno Jeli, Wan Mahussin Wan Zain berkata, langkah terbabit tidak akan menguatkan Umno dan menyelamatkan Melayu sebaliknya hanya terus melemahkan pengaruh parti berkenaan.

Beliau turut mempersoalkan jaminan yang ada bersama PAS sekiranya Umno kembali bekerjasama dengan parti itu, sambil mengingatkan risiko mengulangi kesilapan lalu.

“Siapa tak suka penyatuan bangsa, siapa tak suka tengok orang islam duduk bersama. Tapi persoalannya, selama ini kita bertanding pilihan raya Umno lawan PAS. Umno tidak pernah lawan DAP.

“Sama juga dengan PAS, jadi kolam kita, DAP cari undi dia, kita cari undi kita. Undi kita dalam kalangan PAS. Pengundi PAS ada dalam Umno, pengundi Umno ada dalam PAS. Tapi kita letakkan kesalahan pada DAP, bagi saya ini tidak adil,” katanya dalam video di Facebook.

Semalam, Akmal secara terbuka menyeru kepimpinan tertinggi parti Melayu itu menerima PAS sebagai sekutu baharu dan tidak gentar untuk kembali menjadi pembangkang.

Seruannya bekerjasama dengan PAS menyusuli gesaan Pengarah Pilihan Raya PAS Sanusi Nor, untuk menghidupkan semula MN menjelang PRU akan datang.

Minggu lalu, Sanusi berkata hubungan antara PAS dan Umno adalah sangat penting bagi kestabilan politik, terutamanya di peringkat akar umbi. Seruan itu senada dengan pemimpin PAS lain yang berulang kali membangkitkan idea menghidupkan semula pakatan berkenaan.

Mengulas lanjut, Wan Mahussin berkata, Umno akan berada dalam keadaan merugikan jika bekerjasama dengan PAS, berdasarkan pengalaman lalu ketika dalam MN.

“Umno pernah berada dalam MN 1.0 ketika semua parti belum memegang jawatan, namun keadaan berubah apabila PAS memperoleh kuasa.

“Bila PAS dapat kuasa, dia pilih Bersatu. Akhirnya siapa yang rugi? Umno,” katanya yang menegaskan Umno perlu realistik dan berhati-hati sebelum membuat keputusan meninggalkan kerajaan perpaduan demi MN.

Sementara itu, dalam hantaran di Facebook, beliau berkata dakwaan bahawa keluar daripada kerajaan mampu menjatuhkan DAP juga tidak berasas, malah berpotensi menjadikan Umno sebuah parti pembangkang kecil yang kehilangan peranan strategik.

Katanya, ketiadaan Umno dalam kerajaan akan membuka ruang kuasa kepada pihak lain, sementara parti itu berdepan risiko kehilangan pengaruhnya.

“Umno keluar kerajaan akan mengosongkan ruang kuasa Melayu dan menjadikannya sebagai parti pembangkang kecil,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.