Umno kekal bersama kerajaan perpaduan di sebalik gesaan Akmal, kata Zahid

Umno kekal bersama kerajaan perpaduan di sebalik gesaan Akmal, kata Zahid

Presiden Umno berkata Umno tidak akan melakukan 'tebuk atap' kepada kerajaan sekarang dan kekal sehingga PRU16.

Zahid Hamidi berkata Dr Akmal Saleh ada memberikan penjelasan berhubung pendirian diputuskan dalam konvensyen khas Pemuda Umno, Sabtu lalu.
PUTRAJAYA:
Umno kekal bersama kerajaan perpaduan sehingga tamat penggal pentadbiran, tegas Presiden Zahid Hamidi, di sebalik gesaan Dr Akmal Saleh supaya parti itu menarik sokongan terhadap kerajaan perpaduan dan beralih ke blok pembangkang.

Zahid berkata dalam mesyuarat biro politik semalam, ketua Pemuda Umno itu telah membentangkan resolusi dicapai di konvensyen khas sayap terbabit dan telah dibincangkan secara terbuka oleh pimpinan.

Menurutnya, tiada keputusan muktamad diambil namun Zahid menegaskan parti itu tidak akan melakukan ‘tebuk atap’ kepada kerajaan sekarang dan kembali bernostalgia dengan ‘cadangan’ tidak menjadi kenyataan sebelum ini, merujuk kerjasama dengan PAS melalui Muafakat Nasional (MN).

“Daripada awal kita tidak akan pernah melakukan tebuk atap kepada kerajaan yang ada sekarang dan kita akan bersama-sama dengan kerajaan perpaduan ini hingga tamat penggal.

“Bila pun penggalnya yang akan diumumkan nanti ianya adalah penggal yang secukupnya sebelum PRU16 diadakan,” katanya selepas satu majlis di Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Sabtu lalu, Akmal menggesa parti itu menarik balik sokongan terhadap kerajaan perpaduan dan beralih ke blok pembangkang, dengan mendakwa berlaku pelanggaran berulang ‘garis merah’ melibatkan isu 3R — kaum, agama dan raja.

Beliau berkata orang Melayu marah dengan isu stokin tertera perkataan ‘Allah’ dan bendera terbalik, namun mereka yang dikenakan tindakan adalah pihak yang ‘mempertahankan’ Islam dan Jalur Gemilang.

Akmal turut mendakwa orang Melayu tersinggung apabila arak dihidangkan pada satu majlis kerajaan.

Mengulas lanjut, Zahid berkata kerjasama dengan PAS menerusi MN yang kembali ditiupkan susulan krisis politik di Perlis hujung tahun lalu perlu diteliti sebaiknya.

“Kita tidak mahu nostalgia menggunakan apa-apa nama pernah dicadangkan dahulu, belum dimuktamadkan lagi dan sebab itu perincian penting.

“Sebab kita tidak mahu dipatuk oleh ular yang sama bagi kali kedua di tempat sama,” katanya.

MN ditubuhkan pada September 2019 hasil kerjasama PAS dan Umno bagi menyatukan pengundi Melayu Islam.

Akmal mencadangkan supaya Perikatan Nasional (PN) dibubarkan dan MN dihidupkan semula selepas kemelut politik di Perlis.

Saranan itu disambut baik Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari yang berkata MN boleh dilancarkan selepas Umno dan Barisan Nasional meninggalkan kerajaan perpaduan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.